Formula harga minyak saya kekal dan terbaik - Rafizi - Utusan Malaysia

Formula harga minyak saya kekal dan terbaik – Rafizi

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan formula harga minyak yang masih diguna pakai kerajaan sehingga ke hari ini seperti dicadangkan beliau beberapa tahun lalu kekal sebagai kaedah terbaik untuk menentukan harga bekalan bahan api itu.

Menurutnya, formula tersebut perlu dikekalkan buat masa ini kerana ia mengambil kira perubahan harga minyak mentah dunia selain perlu mengambil kira berapa harga siling yang patut dikenakan.

“Ini bukan soal formula tetapi soal keadaan ekonomi sekarang. Persoalannya harga minyak mentah dunia sekarang sekitar AS$83 ke AS$85 setong dan ada yang beritahu bahawa harga minyak mentah jatuh pada empat, lima bulan lepas mencapai lebih AS$100.

“Jadi bila dah jatuh adakah kita cukup untuk turunkan harga minyak, sudah tentu bagi orang yang faham tentang sektor minyak dia ada soalan itu. Tapi pada masa sama kita juga kena tengok berapa sebenarnya pendapatan yang kita ada sekarang dan kalau kita nak ubah harga siling RM2.05 seliter berapa banyak peruntukan tambahan yang kita kena buat,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan yang juga Timbalan Presiden PKR itu mengulas pertanyaan sekiranya terdapat cadangan atau formula daripada beliau untuk menurunkan harga minyak selepas menyertai Ceramah Mega Ayuh Malaysia Padang Serai, malam tadi.

Ketika ini, harga mingguan RON95 dan Diesel masing-masing kekal RM2.05 dan RM2.15 seliter manakala RON97 mencatatkan penurunan sebanyak 10 sen daripada RM3.95 kepada RM3.85 seliter.

Rafizi berkata, kerajaan juga perlu melihat sama ada tindakan menambah peruntukan bagi menurunkan harga minyak misalnya berbaloi atau sebaliknya berbanding menggunakan peruntukan itu untuk aktiviti ekonomi lain yang boleh memberi kesan berganda.

“Semua ini perlukan lebih banyak masa untuk kita tengok satu persatu kerana bila kita sertai organisasi atau pengurusan baharu sama ada kerajaan atau syarikat kita bukan masuk dan buang semua.

“Kita ada hala tuju tapi kena tengok apa yang ada, mana yang baik dan boleh diperbaiki. Fokus mana yang kita rasa tak boleh dan buang untuk perkenalkan yang baru dan sudah tentu ia memerlukan satu proses yang memakan masa.

“Jadi bahaya juga kalau semua menteri selepas 24 jam pertama (angkat sumpah) dah umum macam-macam sebab itu ibarat resipi menghadapi musibah, jadi saya rasa kita kena ambil langkah demi langkah kerana ia tidak seperti menguruskan syarikat sendiri tetapi menguruskan ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.