Empat nelayan warga asing dilaporkan hilang selepas bot karam ditemukan selamat - Utusan Malaysia

Empat nelayan warga asing dilaporkan hilang selepas bot karam ditemukan selamat

EMPAT nelayan warga Thailand yang dilaporkan hilang selepas bot mereka karam ditemuakn selamat di perairan dekat Pulau Talang, Segari dekat Lumut semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT:  Empat nelayan warga asing yang tidak dapat dihubungi selepas bot dinaiki karam dekat Pulau Talang pagi kelmarin, ditemukan selamat.

Empat warga Thailand yang menjadi kru bot nelayan tempatan itu ditemukan terapung di perairan Segari tidak jauh dari pulau tersebut dekat sini oleh sebuah bot nelayan tempatan lain kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak, Kapten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, pihaknya menerima aduan daripada pemilik bot pada pukul 8.45 pagi semalam memaklumkan tidak dapat menghubungi pekerjanya yang berada di laut sejak kelmarin.

“Sehubungan itu, Maritim Perak melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas bot yang dinaiki mereka dilaporkan karam pada kedudukan 15.5 batu nautika timur laut Pulau Talang.

“Pusat Operasi Maritim Perak telah menyalurkan maklumat kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi bagi mengaktifkan SAR bermula pukul 9 pagi dan Kapal Maritim (KM) Nyalau telah diatur gerak ke lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kesemua mangsa yang terlibat merupakan warga Thailand berusia dalam lingkungan 30 hingga 53 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Jelasnya, semua mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat dan sihat dan dibawa ke pelantar Bagan Panchor, Pantai Remis, dekat sini.

Berikutan itu menurut beliau, SAR tersebut ditamatkan pada pukul 4 petang semalam.

“Maritim mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua agensi dan komuniti maritim yang terlibat dalam SAR ini serta mengingatkan semua pihak agar sentiasa memakai jaket keselamatan dan memeriksa keadaan cuaca sebelum ke laut,” jelas beliau.

Beliau meminta orang ramai agar melaporkan sebarang maklumat dan insiden kecemasan di laut ke MERS 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Perak di talian 05-6838737 dengan segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN