Elak Tasik Bera hilang dari radar pelancongan

Elak Tasik Bera hilang dari radar pelancongan

TASIK Bera di Bera, Pahang perlu diberikan nafas baharu supaya tasik semula jadi terbesar negara itu tidak hilang dari radar pelancongan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Sektor ekopelancongan Tasik Bera perlu diberikan nafas baharu berikutan tasik semula jadi terbesar negara itu semakin hilang dari radar pelancong domestik dan asing.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tokoh Budaya dan Kesenian Pahang, Datuk Dr. Aripin Said berkata, Bera dianugerahkan alam semula jadi dan kekayaan seni budaya antaranya Tasik Bera yang perlu dieksploitasi bagi menjana pendapatan rakyat dan kemakmuran negeri.

Kata beliau, kepelbagaian sumber alam semula jadi itu menjadikan daerah ini berpotensi sebagai antara destinasi ekopelancongan pilihan dunia.

“Tasik Bera terkenal sebagai tempat perlindungan kepada lebih 200 spesies burung, 50 mamalia dan 90 spesies ikan selain menjadi habitat kepada pelbagai jenis flora.

“Ia perlu diberi nafas baharu oleh kerajaan supaya tasik semula jadi terbesar negara ini tidak terus hilang dari radar pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, Setiausaha Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Bera, Khairol Amin Mohd. Tahir berkata, sebuah syarikat berintegriti perlu dilantik untuk membangunkan Kompleks Pelancongan Tasik Bera bagi melindungi, memulihara ekosistem dan mengembalikan ‘aura’ tasik air tawar semula jadi terbesar itu.

Aripin berkata, harapan rakyat untuk memberi nafas baharu kepada ekopelancongan daerah ini kini disandarkan kepada Pengerusi Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Leong Yu Man yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Triang dalam kawasan Bera.

“Selaku Exco baharu yang diberi tanggungjawab dalam portfolio itu, Yu Man perlu belajar daripada pihak yang ada pengetahuan terutama berkaitan seni budaya dan kesenian masyarakat Melayu Pahang,” katanya.

Sambil mengalu-alukan pelantikan Yu Man sebagai Exco, beliau berharap ada buah tangan dan sentuhan baharu bagi menghidupkan kembali seni warisan, destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya