Dzulkefly sedia bantu reformasi sektor kesihatan - Utusan Malaysia

Dzulkefly sedia bantu reformasi sektor kesihatan

Reformasi kesihatan
DZULKEFLY Ahmad (kiri) menanam pokok pada program itu Pekan Lama Kuala Selangor, Kuala Selangor, Selangor. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bersedia menjadi sebahagian daripada anggota yang melaksanakan agenda reformasi sektor kesihatan di negara ini. 

Beliau menegaskan sentiasa terbuka untuk memberi nasihat dan cadangan terbaik kepada Kementerian Kesihatan (KKM) biarpun tidak dipilih menganggotai Kabinet.

“Saya dan KJ (Khairy Jamaluddin) menyatakan kesediaan untuk membantu namun ia terpulang kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

“Selain itu, saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil kira segala kepentingan, kekangan dan penglibatan untuk membentuk Kabinet terbaiknya,” katanya ketika ditemui pada Program Hari Tanpa Kenderaan MPKS di Pekan Lama Kuala Selangor di sini, hari ini.

Minggu lalu, Dr. Zaliha menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Menteri Kesihatan dan antara dua pemimpin wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipilih menganggotai barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Semalam, Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni turut diumumkan lantikan sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.

Jelas Dzulkefly, pembentukan Kabinet baharu berdasarkan kepada Kerajaan Perpaduan dan bukannya Pakatan Harapan (PH).

“Justeru, semua Ahli Parlimen PH memahami segala kekangan yang dihadapi kerana apa lebih penting kerajaan ini mengangkat prinsip sama dalam menambah baik sistem tadbir urus dan membanteras  ketirisan.

“Kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga perlu menangani apa jua perkara yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan budaya,” ujarnya.

Tambah beliau, selain membentuk semangat kedamaian dan saling menghormati, kerajaan bertanggungjawab untuk memajukan semula negara ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya