Dunia penyiaran ‘cinta mati’ Suhaimi Sulaiman

Dunia penyiaran ‘cinta mati’ Suhaimi Sulaiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“MASA mula-mula muncul di televisyen, saya berhempas-pulas buat persediaan sebab mahu berikan yang terbaik kepada penonton. Saya mahu penyampaian berita memberikan impak besar kepada khalayak ketika itu.” 

Itu kata-kata legenda dalam dunia penyiaran, Suhaimi Sulaiman, 60, ketika menceritakan detik pertama muncul di TV3 sebagai wartawan penyiaran pada 1990. 

Kongsinya, dia cuba mengawal diri sehabis baik supaya tidak gementar dan gugup di depan kamera ketika ditugaskan menghasilkan laporan khas mengenai trend pakaian lelaki di Meja Ekonomi. 

Pengalaman kali pertama ketika berusia 28 tahun dianggap sebagai kejayaan dan selepas itu, beliau sentiasa berusaha menggali lebih banyak ilmu dalam bidang kewartawanan.

Bagi Suhaimi yang berasal dari Melaka, tiada noktah dalam pembelajaran dan beliau sentiasa belajar ilmu baharu, termasuk daripada penyampai muda. 

Graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti City di Bellevue, Washington ini berpengalaman selama 32 tahun dalam bidang penyiaran dan kewartawanan.

PERINTIS SALURAN BERITA 24 JAM 

Selepas 13 tahun bersama TV3, beliau menubuhkan syarikat sendiri yang membekalkan perkhidmatan perundingan konsultasi kepada pelbagai organisasi. 

Air tangan beliau pernah menjadikan Astro Awani menduduki tangga keempat carian sohor kini Google Malaysia pada 2014 untuk liputan menyeluruh kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia MH370 dan nahas MH17 di Ukraine. 

Laman web Astro Awani menduduki tangga kedua dalam senarai organisasi berita pada Julai tahun sama atas liputan MH17 di bawah kepemimpinan beliau. 

Menyertai saluran berita Astro Awani pada 2007, peranannya juga begitu besar dengan membimbing semua bakat baharu, jurulatih pasukan editorial dan mengetuai pasukan saluran berita dan maklumat 24 jam. 

Beliau juga antara individu perintis yang bertanggungjawab memulakan saluran berita 24 jam pertama di Malaysia. 

“Ketika mula-mula menyertai Astro Awani pada 2007, saya hanya minta kontrak kerja selama setahun. Pejam celik kontrak disambung sehingga 2018. 

“Saya bermula sebagai Penerbit Eksekutif, pengacara, Pengurus Editorial, Ketua Editor dan Ketua Pegawai Eksekutif di Awani. Saya banyak menguruskan produksi, kewartawanan dan pengurusan organisasi. 

“Di Awani, boleh dikatakan saya mempunyai tiga skop tugas iaitu sebagai penyampai, wartawan dan pengurusan,” katanya kepada Pancaindera, baru-baru ini. 

Menceritakan detik kehilangan pesawat MH370, Suhaimi berkata, dia bersyukur kerana ketika itu, Astro Awani mempunyai wartawan muda dan bertenaga. Ini kerana, beliau meletakkan matlamat Astro Awani perlu membuktikan mampu menjadi siaran berita terbaik, berbanding saluran berita lain. 

“Mahu atau tidak, kita perlu bekerja keras sampai ada wartawan yang terpaksa tidur dan mandi di pejabat. Ini adalah cara bagaimana saya melatih wartawan untuk mendapatkan maklumat eksklusif. 

“Paling penting dalam dunia kewartawanan adalah penyampaian cerita yang bagus. Kita berjaya buktikan di Astro Awani sebab sudah dilatih sebegitu,” kongsinya.

KEHIDUPAN SEIMBANG 

Apabila menyentuh kerjaya wartawan, pasti ramai dalam kalangan kita beranggapan golongan ini tidak mempunyai kehidupan yang seimbang dan berkualiti seperti pekerja lain. 

Mana tidaknya, apabila berlaku peristiwa yang menggemparkan dunia seperti kehilangan pesawat MH370, ibu pejabat sesebuah agensi berita ibarat seperti rumah kedua. 

Bagi Suhaimi, definisi kehidupan seimbang bagi seorang wartawan adalah berbeza dengan golongan pekerja lain. Katanya, wartawan bukan seperti golongan bekerja di pejabat yang bekerja dari pukul 9 pagi sehingga 5 petang. 

Malah, sepanjang lebih tiga dekad menceburi bidang kewartawanan, tidak pernah terdetik dalam kamus hidup Suhaimi erti penyesalan kerana jiwanya sudah sebati dengan bidang tersebut. 

Menurutnya, kewartawanan adalah kerjaya hakiki yang tidak dapat dipisahkan dengan hidupnya, sekalipun sudah menikmati usia persaraan selepas kali terakhir berkhidmat dengan stesen TVS sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Sarawak Media Group. 

“Wartawan itu kerjanya 24 jam. Kalau dia suka pekerjaan tersebut, dia akan jumpa kehidupan seimbang dalam hidupnya. 

“Ia lebih bagaimana kita menguruskan kehidupan. Individu yang menjadi wartawan caranya berfikir lain dan dia tahu mencari waktu rehatnya. 

“Kadang-kadang, mereka perlu datang bertugas pada pukul 4 pagi, tetapi belum tentu boleh balik lagi selagi berita yang dihasilkan belum disiarkan,” katanya. 

Sepanjang bergelar wartawan, sudah tentu ramai pemimpin dunia, tokoh korporat dan individu ternama pernah ditemu bual. 

Namun, bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) ini tidak pernah meletakkan penanda aras bertemu golongan tersebut sebagai pencapaian yang perlu dibanggakan. 

Baginya, menemu bual orang biasa seperti penjual kerepek di tepi jalan yang memberikan inspirasi kepada kehidupan orang lain sebenarnya adalah pengalaman yang tiada galang-ganti. 

Apatah lagi, jika pengalaman insan hebat seperti itu memberikan impak luar biasa pada nilai pemberitaan sehingga menyentuh perasaan penonton dan pembaca. 

“Pengalaman seperti itu mengajar kita menghormati orang lain. Pada saya, sesiapa pun yang ditemui boleh memberikan inspirasi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×