Dua bot nelayan Vietnam ditahan - Utusan Malaysia

Dua bot nelayan Vietnam ditahan

KHAIRULANUAR Abdul Majid menunjukkan sebahagian hasil laut yang dirampas daripada dua buah bot nelayan Vietnam di Kuala Terengganu. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 19 kru termasuk tekong warga Vietnam ketika cuba menangkap ikan menggunakan dua buah bot nelayan di perairan negara, Isnin lalu.

Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kepten Maritim Khairulanuar Abdul Majid berkata, kedua-dua bot asing itu ditahan pada jarak 135 batu nautika dari muara Kuala Terengganu kira-kira pukul 10.15 malam.

Menurutnya, selain menahan kru berusia 16 sehingga 62 tahun, turut dirampas adalah hasil tangkapan laut, bekalan minyak diesel, peralatan menangkap ikan dan bot bernilai keseluruhan RM3 juta.

“Ketika ditahan, kedua-dua bot berada berdekatan dan sedang leka menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran menyebabkan mereka tidak sempat melarikan diri.

“Bot pertama dikendalikan 14 kru manakala bot kedua dikendalikan lima orang kru termasuk tekong dengan kesemuanya adalah warganegara Vietnam.

“Proses membawa bot-bot berkenaan ke Jeti Maritim negeri mengambil masa lebih 35 jam akibat cuaca buruk dan tiba sekitar 8.15 pagi tadi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Khairulanuar menjelaskan, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.

Tegas beliau, Maritim Malaysia Terengganu akan meneruskan Op Kuda Laut dan Op Naga Barat meskipun berdepan cabaran laut bergelora dalam musim Monsun Timur Laut (MTL).

“Ini merupakan tangkapan ke-30 tahun ini dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM45 juta dan Maritim Malaysia Terengganu tidak akan berkompromi terutama dengan nelayan asing.

“Mereka semakin berani menceroboh dengan bot-bot besar kerana nelayan tempatan tidak ramai yang turun ke laut  ketika ini namun kami tetap akan meningkatkan rondaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya