Bunyi pokok tumbang, dentuman kuat sebelum runtuhan tanah berlaku - Utusan Malaysia

Bunyi pokok tumbang, dentuman kuat sebelum runtuhan tanah berlaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Perkhemahan tiga sekeluarga di sebuah tapak perkhemahan awam berhampiran Father’s Organic Farm di sini berakhir tragedi apabila mereka antara mangsa terperangkap dalam kejadian tanah runtuh awal pagi tadi.

Salah seorang mangsa berusia 40-an yang enggan dikenali berkata, dia datang ke tapak perkhemahan itu bersama keluarganya dan dua keluarga rakannya, semalam dari Klang untuk bercuti bersama.

Kata beliau, ketika kejadian itu, dia sudah mendengar bunyi pokok tumbang dan dentuman kuat.

“Ketika itu, saya kebetulan keluar ke tandas dan terkejut melihat sudah berlaku runtuhan tanah di sebelah tapak perkhemahan.

“Saya terus ke khemah mengejutkan ibu dan anak serta keluarga rakan yang ketika itu sedang tidur. Saya kejutkan semua dan kami cari jalan keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui media di Balai Polis Hulu Yam Bharu di sini, hari ini.

Kata mangsa, dia masih berada dalam keadaan terkejut kerana kejadian itu amat mengerikan.

Bagaimanapun katanya, dia sangat bersyukur apabila keluarga dan kumpulannya yang terdiri daripada sembilan individu dewasa termasuknya dan tiga kanak-kanak selamat dan tidak cedera.

“Cuma kami semua masih takut sahaja. Ini kali pertama kejadian seumpama itu berlaku di hadapan mata saya, tak terbayang kejadian itu.

“Ini kali kedua saya datang ke sini dan keadaan cuaca malam tadi baik sahaja, cuma malam mula hujan renyai-renyai selepas itu berhenti,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Leong Jim Meng, 57, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur bersama keluarganya dan terdengar bunyi dentuman kuat sebelum merasai pergerakan tanah.

Katanya, dia kemudiannya mengejutkan ahli keluarga lain yang sedang tidur dan mereka kemudiannya dibantu pihak berkuasa sebelum dibawa keluar dari lokasi.

Sementara itu, seramai lebih 30 mangsa keluarga ditempatkan sementara di balai polis berkenaan bermula pukul 5.30 pagi.

Kesemua mangsa turut diberikan makanan dan minuman dan tempat berteduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN