‘Bukan tindakan ekstrem lulus Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah’

‘Bukan tindakan ekstrem lulus Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah’

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri yang ditadbir Pas tidak bertindak ekstrem apabila meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Pindaan) 2022 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pindaan yang dilakukan itu adalah hampir seragam dengan negeri-negeri lain yang lebih awal melaksanakannya, antaranya di Melaka pada tahun 1991.

“Jadi kenapa ditimbulkan apa yang berlaku di Terengganu (sedangkan) ia seragam juga dengan negeri-negeri yang lain.

“Apa beza ia dilakukan tahun 1990-an di negeri-negeri lain dan penambahbaikan ini (pindaan) terhadap enakmen adalah perkara yang sentiasa dijalankan dari segi takrifan, dari segi tafsiran dan sebagainya.

“Jadi 20 tahun dulu tak kata ekstrem pula, mengapa sekarang ini baru dikatakan ekstrem. Tentulah ada pihak yang tidak berlaku adil dalam membuat pertimbangan mereka,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kritikan beberapa pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap Kerajaan Negeri Terengganu berhubung isu salun uniseks dan peningkatan denda terhadap remaja yang hamil luar nikah yang mendapat perdebatan hangat sepanjang sidang DUN Terengganu berlangsung minggu lalu.

Pindaan enakmen itu melibatkan Seksyen 3A (aktiviti perbomohan dan sihir), Seksyen 33A (perempuan berlagak seperti lelaki), Seksyen 36A (persediaan melakukan liwat) dan Seksyen 29A (hamil atau melahirkan anak luar nikah).

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri sedia memberi penjelasan kepada mana-mana pihak yang masih mempunyai kekeliruan berhubung perkara tersebut kerana pindaan enakmen yang dilakukan adalah perlu untuk mendidik masyarakat di negeri itu agar tidak melakukan kesalahan jenayah syariah.

“Mana-mana pihak yang ingin dapat penjelasan lebih lanjut boleh bertemu dengan pihak kerajaan negeri sama ada di Jabatan Kehakiman Syariah atau Exco yang terlibat (Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat).

“Ini kerana apa yang kita lakukan adalah satu perkara yang biasa sama juga seperti yang dilakukan di negeri-negeri lain,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN