BN ‘mengalah’ kepada PH di Padang Serai?

BN ‘mengalah’ kepada PH di Padang Serai?

POSTER ceramah pengumuman khas menampilkan wajah pemimpin utama PH dan BN di Taman Desa Aman, Padang Meiha di Kulim, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Teka-teki sama ada Barisan Nasional (BN) memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai dijangka terjawab hari ini.

Spekulasi mengatakan BN akan ‘berjiwa besar’ semakin kuat kedengaran sebagai timbal balik terhadap situasi sama yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman apabila PH menyokong calon BN.

Faktor tersebut ditambah dengan jemputan satu ceramah pengumuman khas pimpinan PH dan BN di Taman Desa Aman, Padang Meiha, malam ini.

Menerusi poster ceramah yang dikongsikan PH Padang Serai, wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH kelihatan bersama-sama Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan calon PH, Dr. Mohamad Sofee Razak.

Malah, jadual pergerakan calon BN, Datuk C. Sivaraj yang tidak dikongsikan dengan petugas media sejak kelmarin menguatkan lagi spekulasi beliau akur dengan keputusan pucuk pimpinan.

Sivaraj kali terakhir dilaporkan bertemu pengundi pada Rabu lalu ketika mengadakan walkabout di pasar malam Sungai Karangan, di sini sebelum tiada lagi kemas kini jadual dilakukan pegawainya sehingga kini.

Sementara itu, usaha mendapatkan reaksi Sivaraj sehingga kini belum berhasil dan pegawainya memaklumkan akan cuba mendapatkan maklumat atau kenyataan berkaitan perkara itu secepat mungkin.

PRU15 Parlimen Padang Serai ditangguhkan ke 7 Disember ini susulan kematian calon PH sebelum ini, mendiang M. Karupaiya pada 16 November lalu iaitu dua hari sebelum hari pengundian.

Sebelum ini, Mohamad Sofee mengharapkan pucuk pimpinan partinya dan BN mengadakan perbincangan untuk menentukan hala tuju berdepan PRU15 di kawasan itu.

Beliau yang juga Setiausaha PH Kedah secara peribadi menaruh harapan agar BN memberi kompromi untuk mereka berdepan secara satu lawan satu dengan Perikatan Nasional (PN) di situ.

Namun, Sivaraj menyifatkan ‘permintaan’ tersebut sebagai tidak adil memandangkan beliau sudah bekerja keras di Padang Serai sejak kira-kira tiga tahun lalu.

Malah, beliau pula yang meminta Mohamad Sofee memberi laluan kepadanya kerana calon PH itu didakwa hanya baru ‘tiba’ di Padang Serai beberapa hari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN