Belum ada maklumat terperinci pelan jangka panjang banjir - Mohd. Amar - Utusan Malaysia

Belum ada maklumat terperinci pelan jangka panjang banjir – Mohd. Amar

MOHD. Amar Nik Abdullah ketika menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Dataran Ilmu, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan negeri belum mempunyai maklumat terperinci mengenai pelan jangka panjang pengurusan banjir yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa melakukan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Rantau Panjang semalam.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini perbincangan berkenaan pelan jangka panjang pengurusan banjir adalah di antara Ahmad Zahid dan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

“Saya sendiri belum mengetahui secara terperinci berhubung pelan jangka panjang pengurusan banjir yang diumumkan itu, jadi tidak dapat mengulas lanjut mengenainya.

“Kebiasaannya perkara-perkara sebegini akan diuruskan oleh Kerajaan Persekutuan dan di pihak kerajaan negeri kita akan menerima apa sahaja yang telah diputuskan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memberitahu, berikutan peruntukan untuk pelan berkenaan dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan maka pihak berkenaanlah yang akan membuat keputusan termasuk pelantikan kontraktor dan sebagainya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Kerajaan Perpaduan merangka satu pelan jangka panjang berkait pengurusan banjir sehingga tahun 2100 bagi memastikan masalah tersebut dapat diatasi.

Ahmad Zahid berkata, pelaksanaan projek itu akan dilakukan secara bersasar kerana ia melibatkan peruntukan yang besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN