KOTA KINABALU: Bekas Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Fairuz Renddan bersedia menerima apa juga tindakan dikenakan oleh pimpinan Bersatu di peringkat Pusat.
Pembantu Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan itu berkata, sebarang tindakan yang akan dikenakan mereka sedia menerimanya.
“Seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Menteri, kita keluar secara baik. Jadi, apa pun tindakan daripada Pusat, kita sedia terima,” katanya semasa mengulas tentang tindakan Bersatu Pusat.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Anugerah Masjid dan Surau Kariah Cemerlang serta Tokoh Imam peringkat negeri di Dewan Saadah, Wisma Muis hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan itu berkata, beliau tidak pasti sama ada Bersatu bahagian Kota Belud dibubarkan atau tidak kerana beliau hanya memegang jawatan Ketua Armada di peringkat bahagian.
Fairuz antara 19 ahli Parlimen dan ADUN Bersatu Sabah yang mengumumkan keluar parti dan kekal sebagai ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Sabtu lalu.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan akan diambil terhadap empat bekas ahli Parlimen Bersatu Sabah mengikit Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Muhyiddin, Badan Pimpinan Negeri, Bahagian dan Cawangan Bersatu di Sabah ditubuhkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan hanya MPT yang mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan parti untuk menentukan kedudukannya.
Empat bekas ahli Parlimen Bersatu Sabah ialah Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Matbali Musah (Sipitang) dan Datuk Jonathan Yassin (Ranau).
Sementara itu, 15 ADUN yang keluar pula ialah Datuk Seri Hajiji Noor (Sulaman), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Fairuz Renddan (Pintasan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Rubin Balang (Kemabong), Samad Jambri (Labuk), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas), Datuk Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Ruddy Awah (Pitas), Abdul Ghani Mohamed Yassin (Nabawan), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu), Datuk Amisah Yassin (ADUN Dilantik) dan Jaffari Walliam (ADUN Dilantik).- UTUSAN