Banjir kilat landa tujuh kampung di Kupang

Banjir kilat landa tujuh kampung di Kupang

KEADAAN banjir kilat yang melanda tujuh kampung berhampiran Sungai Kupang di Baling, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Kira-kira 50 buah rumah di tujuh buah ampung di Mukim Kupang, di sini dilanda banjir kilat selepas hujan lebat lebih dua jam di kawasan itu, petang ini.

Penduduk Kampung Iboi terutamanya kembali cemas mengenangkan kejadian banjir lumpur dan kepala air yang berlaku di Sungai Kupang pada 4 Julai lalu, walaupun kejadian kali ini tidak seteruk bencana lepas.

Azhar Md. Isa, 36, yang tinggal di Kampung Bukit Iboi berkata, hujan lebat bermula pukul 4 petang menyebabkan air sungai melimpah ke halaman rumah serta ada yang memasuki ke bahagian dalam rumah.

“Setiap kali hujan lebat kami jadi fobia, namun kami lebih bersedia pada kali ini. Kami bersiap sedia mengangkut barang dan perkakasan rumah termasuk barangan persekolahan anak ke tempat selamat dan tinggi bagi mengelak ia hanyut jika air naik lebih tinggi melepasi paras pinggang,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, kereta, motosikal dan harta benda yang dimiliki penduduk segera dialihkan ke tempat selamat dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan selain mereka membina parit di keliling rumah dan halangan binaan simen di pintu rumah bagi mengelak air menerjah masuk.

Katanya lagi, air sungai turut membawa sisa-sisa kayu balak dan banyak tersangkut di dua buah jambatan yang menghubungkan kampung dan mereka terpaksa membuang sisa-sisa kayu itu bagi melancarkan aliran air sungai.

Penduduk Kampung Empang, Mashitah Ahmad, 46, pula berkata, di halaman rumahnya dikelilingi air seperti berada di pulau.

“Ketika kejadian saya berada di luar, apabila sampai ke rumah saya melihat air sungai telah melimpah masuk ke kawasan kampung dan saya serta suami, Rosmi Said, 53, segera mengangkat barangan rumah ke tempat yang selamat.

“Di halaman rumah air sudah sampai paras lutut, nasib baik rumah kami agak tinggi kedudukannya, jadi air masuk sikit sahaja,” katanya.

Dia turut bimbang sekiranya hujan lebat berterusan, projek ternakan madu kelulut diusahakannya terjejas lagi kerana dia baru sahaja memulakan kembali projek tersebut.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Baling, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz, berkata, antara kampung terlibat adalah Kampung Bok Bak, Kampung Bukit Iboi, Kampung Padang Empang, Kampung Dusun, Kampung Charuk Kapas, Kampung Hangus dan Kampung Pak Bong.

Bagaimanapun, tiada Pusat Penempatan Sementara (PPS) dibuka kerana hujan berhenti dan air sungai mulai surut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.