Banjir di Terengganu mulai surut, jumlah mangsa berkurangan kepada 36,231 orang - Utusan Malaysia

Banjir di Terengganu mulai surut, jumlah mangsa berkurangan kepada 36,231 orang

MANGSA banjir menggunakan perahu untuk berpindah di PPS SK Durian Mentangau, Dungun, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Keadaan banjir di Terengganu mulai surut apabila jumlah mangsa berkurangan kepada 36,231 orang daripada 9,739 keluarga pada 8 pagi ini berbanding 38,574 orang daripada 10,493 keluarga pada 4 petang semalam.

Sebanyak 21 pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup secara berperingkat sejak petang semalam menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi hanya di 256 lokasi berbanding 277 lokasi sebelum ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, jumlah mangsa berkurangan di lima daerah iaitu Kemaman, Besut, Setiu, Marang dan Hulu Terengganu.

Bagaimanapun, mangsa banjir di tiga lagi daerah iaitu Kuala Terengganu, Dungun dan Kuala Nerus mencatatkan peningkatan kerana banjir di banyak kawasan masih belum surut sepenuhnya.

Menurutnya, banjir di Kemaman semakin pulih dengan jumlah mangsa terus berkurangan kepada 7,364 orang daripada 1,971 keluarga di 24 PPS pagi ini berbanding 9,068 orang daripada 2,430 keluarga di 27 PPS semalam.

“Situasi banjir di Besut juga semakin pulih dengan mangsa terus menurun kepada 6,672 orang daripada 1,587 keluarga di 66 PPS berbanding 6,852 orang daripada 1,674 keluarga di 73 PPS sebelum ini.

“Daerah yang turut merekodkan penurunan mangsa dalam jumlah yang ramai pagi ini ialah di Setiu iaitu 2,375 mangsa daripada 622 keluarga di 36 PPS berbanding 3,549 orang daripada 976 keluarga di 48 PPS petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Banjir di Hulu Terengganu juga semakin baik dengan mangsa menurun kepada 5,854 orang daripada 1,976 keluarga di 47 PPS berbanding 6,070 orang daripada 2,025 keluarga di 50 PPS sebelum ini.

Situasi sama juga berlaku di Marang yang merekodkan penurunan kepada 922 orang daripada 225 keluarga berbanding semalam iaitu 1,387 orang daripada 345 keluarga, namun jumlah PPS masih kekal di 12 lokasi.

Dalam pada itu, beliau berkata daerah Dungun pula terus mencatat peningkatan kepada 6,186 orang daripada 1,619 keluarga di 41 PPS berbanding 5,158 orang daripada 1,389 keluarga di 39 PPS sebelum ini.

“Pertambahan mangsa juga berlaku di Kuala Nerus iaitu seramai 3,895 orang daripada 988 keluarga di 17 PPS berbanding 3,822 orang daripada 933 keluarga di 12 PPS semalam.

“Jumlah mangsa juga bertambah di Kuala Terengganu iaitu seramai 2,863 orang daripada 751 keluarga di 13 PPS berbanding 2,668 orang daripada 721 keluarga di 12 PPS semalam disebabkan banyak rumah penduduk ditenggelami air akibat air pasang,” katanya.

Hari ini, cuaca diramal semakin baik di seluruh Terengganu dengan hujan sederhana dan kadangkala lebat di beberapa kawasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya