KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan usul di bawah Peraturan 14 (1) (I) berkaitan insiden tanah runtuh di Batang Kali sebelum Dewan Rakyat mulakan perbahasan usul undi percaya terhadapnya.
Anwar juga turut menzahirkan penghargaan beliau kepada semua agensi-agensi penyelamat yang telah terlibat dalam operasi menyelamat dan merawat yang bertindak pantas pada hari kejadian tragedi itu.
“Dewan ini ingin merakamkan ucapan takziah kepada individu dan keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor pada 16 Disember 2022.
“Berdasarkan kepada laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sejurus mendapat maklumat kecemasan daripada orang awam pada jam 2.23 pagi, koordinasi antara agensi telah dibuat dengan pantas dan pihak penyelamat telah tiba di kawasan kejadian pada jam 2.58 pagi dan berjaya menyelamatkan mangsa pertama sejam selepas itu.
“Dewan ini ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi penyelamat di Ground Zero utamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, RELA dan juga pasukan khas yang terdiri daripada pasukan SMART, STORM, MUST, PGA dan pasukan unit khas K9,” katanya.
Kejadian itu melibatkan seramai 94 mangsa yang terdiri daripada warganegara termasuk kanak-kanak dan warga asing.
Sehingga kini, seramai 61 mangsa telah berjaya ditemukan dan sebanyak 24 mangsa telah dijumpai meninggal dunia di tempat kejadian, manakala sembilan lagi masih tidak dijumpai.
Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Nur Hilwa Edrea Mohd. Hariz Zaifan yang berusia satu tahun tiga bulan dari Terengganu yang merupakan mangsa Monsun Timur Laut.
“Semua pihak dipohon berwaspada dan mengelakkan kawasan-kawasan berisiko tinggi ketika musim tengkujuh dan monsun ini,” katanya. – UTUSAN










