fbpx

Annuar kunci mulut

ANNUAR Musa (dua kanan) disambut oleh penyokong semasa tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

KOTA BHARU: Tan Sri Annuar Musa mengambil pendekatan ‘kunci mulut’ selepas diminta mengulas mengenai khabar angin pemecatannya sebagai ahli UMNO oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu semalam.

Annuar yang merupakan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia sekadar tersenyum dan enggan memberikan sebarang komen berhubung perkara tersebut.

“Saya tak ada komen… tak dengar apa-apa berita,” katanya secara ringkas ketika di temui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini sebentar tadi.

Terdahulu, kepulangan Annuar disambut oleh ahli keluarga dan penyokong yang menunggu kehadirannya di LSTIP.

Utusan Online hari ini melaporkan, MKT UMNO masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi selepas bermesyuarat malam tadi, namun, wujud khabar angin bahawa Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dipecat daripada parti itu.

Sumber Utusan Malaysia mengatakan selain daripada Annuar, Ketua Wanita UMNO Arau, Datin Seri Shamsiah Yasin dan Ketua Wanita UMNO Maran, Datin Seri Fatimah Kassim  juga dipecat.

Menurut sumber itu, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Shamsiah merupakan isteri kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim manakala Fatimah Kassim merupakan isteri kepada Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib.

Selepas mesyuarat itu tamat malam tadi, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zakarshi mengesahkan pemecatan tiga individu dalam parti itu namun, tiada nama yang didedahkan oleh beliau.

Menurut Mohd. Puad, ketiga-tiga individu itu dipecat kerana mencemuh parti dan berkempen bagi pihak lawan, malah, ada antaranya yang mendedahkan hasil mesyuarat MKT kepada pihak lain yang tidak terlibat dengan UMNO. –UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN