Anak kerap beritahu mahu meninggal sejak setahun lalu - Utusan Malaysia

Anak kerap beritahu mahu meninggal sejak setahun lalu

MUHAMMAD Izwan Ibrahim menunjukkan gambar Yusuf Daniel Muhammad Izwan ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pondok Batang, Jasin, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: “Yusuf dah nak meninggal ayah, nak bawa mummy sekali”.

Kata-kata itu kerap diluahkan Yusuf Daniel Muhammad Izwan, 5, sejak setahun lalu kepada ba­panya, Muhammad Izwan Ibrahim, 30, sebelum dia bersama ibu, datuk dan nenek maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan, bulan lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Izwan berkata, pada awalnya dia tidak mengambil peduli apa yang diberitahu Yusuf Daniel kerana beranggapan anaknya masih mentah dan belum memahami apa yang diperkatakan.

“Lama kelamaan kata-kata dia semakin bermain di fikiran hingga sukar hendak tidur. Dia kata hendak meninggal dan bawa ibu bersama, tetapi saya dan anak bongsu, Aniq Fahim Muahmmad Izwan, 2, tidak ikut sekali.

“Dia juga pernah beritahu rumah dia yang ‘jauh’ lagi hebat berbanding rumah ibu dan juga ada ‘ayah’ selain saya. Saya sangat sayangkan dia lebih daripada segala-galanya kerana dia seorang yang ceria, riang dan keletahnya disenangi orang sekeliling.

“Saya tidak menyangka dua hari sebelum kemalangan adalah kali terakhir dia bercakap sedemikian. Semasa dalam perjalanan untuk bercuti ke Langkawi, Kedah, Yusuf pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pondok Batang di sini semalam.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan empat sekeluarga maut selepas kereta jenis Toyota Estima dinaiki terlibat dalam nahas di simpang tiga Jalan Kolam, Machap dekat sini.

Selain Yusuf, kemalangan itu turut mengorbankan Ibrahim Daud, 71, dan isterinya, Latipah Dorahim, 66, serta menantu mereka, Syazana Tharin, 30.

Tambah Muhammad Izwan, anak bongsunya sentiasa berta­nyakan di mana ibu dan abangnya berada selepas kejadian tersebut.

Katanya, dia terpaksa berterus terang memaklumkan ibu dan abangnya sudah tiada dan tidak lagi dapat berjumpa dengan mereka.

“Saya bawa dia melihat pusara ibu, abang, datuk dan nenek. Alhamdulillah dia faham walaupun tidak sepenuhnya. Ada ketika dia teringat dia akan bertanya.

“Saya tidak sampai hati beritahu ibu pergi bekerja kerana dia akan menunggu. Anak adalah kekuatan saya sekarang dan akan membesarkan Aniq Fahim dengan penuh kasih sayang,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya