PETALING JAYA: Runtuhan cerun yang menjejaskan tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm di Batang Kali dekat Hulu Selangor sehingga mengakibatkan 94 mangsa terperangkap dipercayai akibat aliran air di bawah tanah di kawasan berkenaan.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Pengarah Bahagian Kebombaan Operasi dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, bagaimanapun tidak dapat dipastikan mengenai perkara itu memandangkan operasi menyelamat masih giat dilakukan ketika ini.
“Disyaki aliran bawah tanah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam..
Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan statistik yang direkodkan JBPM, sebanyak 220 kejadian tanah runtuh direkodkan sejak Januari lalu sehingga November lalu di seluruh negara.
Kata beliau, sebanyak tujuh kematian dicatatkan sepanjang tempoh itu diikuti enam mangsa cedera dan selamat (sepuluh orang).
“Sarawak direkodkan negeri tertinggi kejadian tanah dengan 71 kes dilaporkan diikuti Selangor (42 kes) ; Sabah (36 kes) ; Negeri Sembilan (23 kes) ; Pahang (13 kes) ; Perak (10 kes) ; Kuala Lumpur (tujuh kes) ; Johor (lima kes) ; Pulau Pinang dan Melaka (masing-masing empat kes) ; Kedah (tiga kes) dan Terengganu (dua kes).
“Di Genting Highland, kejadian terakhir berlaku tanah runtuh dalam rekod kami iaitu pada Februari lalu membabitkan lokasi di Kilometer 12 Jalan menuju ke pusat peranginan itu dan tidak berapa jauh dari tapak perkhemahan Father’s Organic Farm,” jelasnya.
Dalam pada itu, hasil semakan Utusan Malaysia di laman sosial Facebook pengendali tapak perkhemahan berkenaan mendapati, lokasi kejadian merupakan lokasi umum bagi melakukan aktiviti perkhemahan bersama keluarga dan rakan.
Tapak perkhemahan yang terletak 4 kilometer dari Genting Highlands itu dipercayai menempatkan sembilan khemah bertutup dan sebuah khemah terbuka.
Selain itu, tapak perkhemahan tersebut juga dikelilingi anak sungai dan ladang organik.
Menerusi hantaran yang dimuat naik pada Oktober tahun lalu, bayaran sebanyak RM30 dikenakan kepada orang dewasa yang mahu bermalam di situ.
Turut dikenakan bayaran iaitu kanak-kanak berusia empat tahun hingga 12 tahun dengan bayaran RM15 selain sewa tapak khemah RM20 untuk semalam dan khemah perlu dibawa sendiri.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi ketika dihubungi berkata, maklumat awal mendapati tapak perkhemahan berkenaan sememangnya dibuka kepada umum yang mahu melakukan aktiviti perkhemahan.
Bagaimanapun, katanya, beliau masih tidak dapat memastikan tanah berkenaan merupakan tanah milik pengendali tapak perkhemahan atau tidak.
“Kita masih belum belum mengambil keterangan operator yang mengendalikan kawasan berkenaan. Tumpuan kita kini adalah misi menyelamatkan mangsa-mangsa yang masih terperangkap dalam kejadian itu,” katanya di sini. – UTUSAN










