PETALING JAYA: Malaysia dan Qatar hari ini menzahirkan komitmen masing-masing untuk meneruskan usaha mengeratkan hubungan dua negara ini bagi mencapai kepentingan bersama.
Menerusi laman Facebook, Istana Negara memaklumkan perkara itu dibincangkan ketika kunjungan hormat dan pertemuan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani di Doha, Qatar semalam.
“Pada pertemuan itu, Al-Sultan Abdullah dan Sheikh Tamim turut menyentuh berkenaan hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan Qatar, dan usaha-usaha untuk mempertingkat hubungan serta beberapa isu membabitkan kepentingan bersama.
“Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Sheikh Tamim dan kerajaan Qatar sebagai tuan rumah atas kejayaan menganjur dan mengendalikan temasya Piala Dunia Persekutuan Antarabangsa Persatuan Bola Sepak (FIFA) Qatar 2022,” katanya.
Seri Paduka kini berada di Doha atas persilaan peribadi Sheikh Tamim sempena temasya Piala Dunia FIFA Qatar 2022.
Lawatan khas selama enam hari ke negara itu, Seri Paduka turut dijadualkan untuk menerima menghadap beberapa pemimpin kerajaan Qatar.
Seri Paduka juga dijangka berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat Malaysia di Qatar sebelum pulang ke tanah air pada 19 Disember ini. – UTUSAN