Akta anti kebencian tidak relevan - Peguam

Akta anti kebencian tidak relevan – Peguam

Keghairahan berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 menyebabkan ada yang mengeluarkan kenyataan berunsur kebencian terhadap pihak lawan. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang Rang Undang-Undang (RUU) bagi menggubal akta menghalang isi kandungan atau perbuatan yang membawa kebencian kepada mana-mana pihak tidak wajar dilaksana kerana negara sudah mempunyai undang-undang sedia ada.

Undang-undang tersebut antaranya Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Kanun Keseksaan (Akta 574) serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang dilihat sudah memadai mengawal bentuk tindakan yang melampau sehingga mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam, Mior Nor Haidir berkata, sesuatu akta baharu seharusnya menumpukan secara khusus terhadap tindakan yang dilakukan jika kerajaan tetap meneruskan rancangan membentang rang undang-undang baharu di Dewan Rakyat nanti.

“Akta Kebencian tidak relevan dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia. Negara ini sudah mempunyai undang-undang yang sudah lama dikuatkuasakan. Apa yang perlu sekarang adalah memperkukuh kesedaran sivik dan sosial antara kaum di pelbagai peringkat umur.

“Jika perlu undang-undang baharu juga, maka ia perlu lebih khusus atau secara langsung terhadap sesuatu tindakan. Menggubal undang-undang baharu tidak akan memberi kesan, sebab itu, lebih elok kerajaan meminda hukuman pada akta-akta yang sedia ada ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau juga bersetuju bahawa peruntukan hukuman dalam undang-undang yang tersedia perlu lebih berat dan setimpal dengan perbuatan dilakukan tertuduh.

“Benar, nampaknya kesedaran secara sosial semata-mata kadang-kadang tidak meyakinkan. Jadi, kemungkinan hukuman lebih berat secara menghalang dapat membantu mengurangkan kes-kes sebegini,” katanya.

Bulan lalu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) akan mengemukakan rang undang-undang bertuju menghalang perbuatan yang boleh membawa kebencian kepada mana-mana pihak, sekiranya gabungan itu berjaya mentadbir kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, rang undang-undang berkenaan akan dilaksana seperti negara-negara luar yang mempunyai rakyat pelbagai kaum bagi memastikan keamanan antara masyarakat.

11 November lalu, Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd. Shahiful Mhd. Nasir mencetus kontroversi selepas dilaporkan memberi amaran pengundi akan ‘masuk api neraka’ jika memilih Barisan Nasional (BN) atau PH berbanding PN.

Setelah menerima kecaman, beliau kemudian memohon maaf sambil mengakui kenyataan dibuat telah menyinggung ramai pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN