KEMAMAN: Kerajaan mengarahkan semua agensi berada dalam kesiapsiagaan menghadapi gelombang banjir seterusnya di negeri-negeri di seluruh negara pada musim tengkujuh ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut perlu diambil memandangkan gelombang banjir baharu diramal berlaku bermula malam tadi hingga 28 Disember ini
Menurutnya, antara persediaan tersebut meningkatkan aset yang mencukupi untuk mengelakkan berlaku kelewatan bekalan makanan ke pusat pemindahan sementara (PPS) tidak berulang.
Katanya, kemudahan logistik itu juga penting dalam operasi membantu memindahkan mangsa banjir.
“Sebelum ini kekurangan aset adalah punca utama berlaku kelewatan bekalan makanan dihantar ke PPS.
“(Bagaimanapun) saya tidak dapat menjamin bekalan makanan akan dihantar dengan cepat (selepas ini) kerana terdapat masalah jalan-jalan yang tidak dapat dilalui,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan banjir di Kampung Bukit Mentok, di sini, hari ini.
Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hassan pula diminta memobilisasikan trak di depoh-depoh bekalan supaya dapat digerakkan di kawasan-kawasan mengalami banjir.
“Menteri Pertahanan akan turun esok di sini (Terengganu) untuk mengkoordinasi dan memantau kemudahan aset-aset itu di kawasan banjir,’ ujarnya.
Ahmad Zahid berkata, beliau akan mengkoordinasikan bantuan bersama-sama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi-agensi lain untuk kelancaran operasi bantuan banjir.
Selain itu, katanya, pihaknya juga akan memastikan wang bantuan banjir digunakan untuk mendepani masalah banjir bukan tujuan-tujuan lain. –UTUSAN