86 polis Kelantan dikesan langgar tatatertib

86 polis Kelantan dikesan langgar tatatertib

MUHAMAD Zaki Harun (depan, dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pegawai di IPK Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/ROHANA MOHD.NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan mendedahkan seramai 86 pegawai dan anggotanya dikesan melakukan kesalahan tatatertib sepanjang tahun ini.

Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesalahan itu melibatkan dadah, jenayah, khalwat, tidak hadir tugas dan lain-lain salah laku.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut ada yang sudah dikenakan tindakan dan masih dalam siasatan lanjut.

“Walaupun jumlahnya agak kecil, kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota didapati terlibat.

“Sekiranya didapati bersalah, pegawai atau anggota terlibat akan dikenakan tindakan tatatertib termasuk digantung dan dibuang kerja,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki memberitahu, empat buah balai dan dua pondok polis telah ditenggelami banjir yang melanda negeri ini pada minggu lalu.

Katanya, balai yang terjejas itu melibatkan Kuala Jambu, Simpangan di Tumpat dan Rantau Panjang serta Bakong di Pasir Mas.

“Pondok polis yang turut terkesan dengan banjir ialah Pondok Polis Salor (Kota Bharu) dan Kubang Kual (Pasir Mas).

“Selain itu, lapan pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand dekat Rantau Panjang turut ditenggelami banjir. Ia melibatkan Pos Terusan, Pak Teh Kana, Salleh Berek, Pah Atah, Pulau, Kubang Pak Hitam, Mek Gombak dan Kaloi,” ujarnya.

Muhamad Zaki berkata, beliau sudah mengarahkan pegawainya membuat penelitian kerosakan yang dialami di semua balai yang terlibat.

Katanya, kesemua laporan berkait dengan kerosakan tersebut akan dihantar ke Bukit Aman untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya