6 mangsa sindiket tawaran kerja Thailand-Myanmar selamat tiba

6 mangsa sindiket tawaran kerja Thailand-Myanmar selamat tiba

SIM Chon Siang (dia kiri) bersama mangsa yang tiba di KLIA, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di sempadan Thailand-Myanmar selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, pihak berkuasa Thailand turut menghantar pulang empat lagi rakyat negara ini yang berada dalam tahanan Imigresen Thailand.

Katanya, kesemua enam mangsa yang dihantar pulang dari negara jiran itu diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Kementerian merakamkan penghargaan kepada pihak PDRM atas tindakan pantas dan proaktif dalam mengesan serta menyelamatkan mangsa-mangsa hasil kerjasama erat kementerian ini dengan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.

“Pada masa sama, kementerian merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Thailand yang sentiasa memberikan kerjasama dan keutamaan dalam membantu Kerajaan Malaysia menyelamatkan mangsa-mangsa sindiket ini,” katanya hari ini.

Pada Oktober lalu, mangsa yang berasal dari Johor ditipu rakan yang menawarkan peluang pekerjaan di Singapura dengan gaji lumayan. Namun, setibanya di Lapangan Terbang Changi Singapura, mangsa dimaklumkan dokumen pekerjaan mereka masih diuruskan rakan terbabit.

Susulan itu, kononnya sementara menunggu urusan dokumen di Singapura selesai, mereka dibawa ke Bangkok, Thailand, namun setibanya di Bangkok, pasport mereka dirampas dan kemudian dibawa ke Mae Sot berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Sim Chon Siang tiba bersama mangsa-mangsa selepas membantu menghulurkan bantuan dan memudahkan urusan bagi membawa pulang mangsa.

Sehingga semalam, pihak kementerian menerima 488 laporan melibatkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa jenayah sindiket penipuan ini di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

Katanya, daripada bilangan tersebut, seramai 359 orang berjaya diselamatkan, dengan 331 orang dibawa pulang ke Malaysia dan 28 orang lagi masih berada dalam depoh tahanan bagi membantu proses siasatan serta urusan dokumentasi di negara-negara berkenaan sebelum dibenarkan pulang.

Wisma Putra memberitahu, mangsa sindiket itu adalah 227 orang di Kemboja, 61 orang di Laos, 38 orang di Thailand dan 33 orang di Myanmar.

“Kementerian melalui Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia di negara-negara berkenaan dan dengan kerjasama erat PDRM akan terus melipatgandakan usaha bagi menjejaki 129 orang lagi mangsa yang dilaporkan masih belum dapat dikesan.

“Ini melibatkan negara Kemboja (satu kes), Thailand (lapan kes), Laos (29 kes) dan Myanmar (91 kes),” katanya.

Pada masa sama, Kementerian turut mengharapkan bantuan dan kerjasama orang ramai untuk sentiasa cakna dengan isu sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.

Mangsa atau ahli keluarga yang disyaki terjebak dalam sindiket kegiatan jenayah ini diminta segera melaporkan kepada pihak PDRM dan KLN d melalui e-mel: [email protected].

“KLN memandang serius isu membabitkan keselamatan dan kesejahteraan warganegara Malaysia di luar negara dan memerlukan kerjasama semua pihak dalam menangani isu ini.

“Pihak KLN akan sentiasa memberikan komitmen dan menghulurkan bantuan sepantas mungkin bagi membantu menyelamatkan rakyat Malaysia yang menghadapi masalah di mana sahaja mereka berada di luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya