fbpx

6 lelaki, 2 wanita anggota sindiket pengedaran dadah ditahan polis

SEBAHAGIAN daripada dadah yang dirampas daripada satu sindiket yang berjaya ditumpaskan polis menerusi penahanan lapan suspek warga tempatan di Batu Maung, Pulau Pinang minggu lalu.

BALIK PULAU: Seramai lapan suspek terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita tempatan yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Batu Maung dekat sini, 23 November lalu.

Selain penahanan suspek tersebut, polis turut merampas dadah jenis pil ekstasi, erimin-5 dan ketamin bernilai RM31,365 dalam serbuan tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintenden Jafri Md Zain berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia antara 20 hingga 35 tahun itu ditahan dalam serbuan pertama pukul 10.10 pagi di sebuah rumah.

Menurut beliau, polis kemudiannya menyerbu lokasi kedua juga di sebuah rumah di Batu Maung kira-kira pukul 12 tengah hari dan menemukan dadah jenis pil ekstasi dan pil erimin-5 di simpan di rumah tersebut.

“Berdasarkan risikan, dadah yang dirampas itu akan diedarkan di sekitar daerah Barat Daya di sini dan kesemua dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 1,926 penagih jika terlepas ke pasaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kesemua suspek yang positif dadah itu direman selama tujuh hari bermula 23 November hingga semalam.

Dalam operasi sama ujar beliau, polis turut menyita wang berjumlah RM3,000 serta dua buah kereta masing-masing jenis Toyota Vios dan Proton Gen 2 menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta sebanyak RM74,365.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN