KUANTAN: Seramai 573 mangsa banjir daripada 171 buah keluarga di negeri ini masih kekal berada di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pukul 8 pagi ini.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang dalam kenyataannya memaklumkan, kesemua mangsa dari lima daerah iaitu Temerloh, Lipis, Raub, Jerantut dan Bera.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 383 mangsa daripada 114 keluarga di daerah Temerloh dipindahkan ke sebuah PPS di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Semantan yang dibuka sejak Khamis.
“Daerah Bera pula, 19 mangsa banjir berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Buntar yang dibuka pada Jumaat lalu dan sembilan mangsa berada di PPS SK Kerayong,” katanya di sini hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, di Jerantut pula, seramai 20 mangsa daripada tujuh keluarga masih ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Sempadan.
Selain itu katanya, di Lipis, dua PPS dibuka yang mana seramai 58 mangsa banjir berada di PPS SK Lubuk Kulit dan 31 mangsa berada di PPS Masjid Kampung Beletik.
“Sementara itu, sebanyak lima buah PPS dibuka di Raub yang mana seramai 30 mangsa berada di SK Ulu Atok, tiga mangsa berada di Balai Raya Kampung Ria, lapan mangsa berada di Masjid Kampung Kuala Semantan, dan tujuh mangsa berada di PPS Balai Raya Kampung Sengkela.
“Balai Raya Kampung Chenua yang dibuka malam tadi menempatkan lima mangsa daripada sebuah keluarga,” jelasnya. – UTUSAN










