440 kawasan cerun, kepala air kritikal

440 kawasan cerun, kepala air kritikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 440 cerun dan kepala air di seluruh negara dikategorikan sebagai kritikal serta dalam kewaspadaan selain memerlukan pemantauan dari semasa ke semasa terutama ketika musim tengkujuh.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 9JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 254 cerun berisiko manakala 186 lagi kawasan melibatkan kepala air.

Katanya, negeri paling banyak cerun kritikal adalah di Sabah (36 lokasi) diikuti Pahang, Kelantan, Terengganu, Johor dan Perak iaitu masing-masing 25 lokasi.

“Selain itu, 21 lokasi cerun dikenal pasti di Selangor dan Sarawak, Negeri Sembilan (19 lokasi), Pulau Pinang (13 lokasi), Kedah (lapan lokasi), Melaka (enam lokasi), Perlis (empat lokasi) dan Kuala Lumpur satu lokasi.

“Bagi kawasan kepala air, sebanyak 52 lokasi berisiko dikenal pasti di Sabah, Kedah (24 lokasi), Kelantan dan Terengganu (18 lokasi), Perak dan Negeri Sembilan (17 lokasi),” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Nor Hisham, sebanyak enam lokasi pula terletak di Selangor; Perlis dan Johor (lima lokasi) dan Kuala Lumpur serta Melaka masing-masing satu lokasi.

Mengulas perkembangan operasi menyelamat tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan,Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor dekat sini, beliau berkata, pihaknya telah memasang dua alat pengesan pergerakan bagi mengenal pasti keberangkalian berlakunya runtuhan lain.

Bagaimanapun katanya, ia tidak melibatkan runtuhan besar namun kestabilan tanah membimbangkan yang berkemungkinan melibatkan pergerakan kecil dalam tanah.

Katanya, sebanyak 200 anggota dan pegawai bomba membabitkan pelbagai bahagian terlibat dalam operasi tersebut yang berhadapan kekangan keluasan kawasan kejadian serta runtuhan tanah melibatkan 450,000 meter padu tanah.

“Jika semalam kita fokus di atas cerun hingga menemukan 16 mayat manakala lima lagi di sektor kedua yang berkemungkinan mangsa dibawa aliran tanah dari tapak perkhemahan berhampiran cerun.

“Bagaimanapun, tumpuan pasukan penyelamat hari ini adalah di sektor ketiga iaitu river side bagi mencari 12 lagi mangsa tragedi. Pencarian kita berdasarkan aliran tanah runtuhan dengan bantuan anjing pengesan,” ujarnya.

Dalam kejadian kira-kira 2.42 pagi pagi kelmarin, berlaku tanah runtuh di cerun berhampiran pusat rekreasi disahkan tiada lesen yang melibatkan 94 individu termasuk pekerja tapak perkhemahan serta kakitangan dan ahli keluarga sebuah sekolah di Lembah Klang.

Dalam insiden itu,seramai 23 orang terkorban manakala 10 lagi mangsa masih dilaporkan hilang.

Selain itu, seramai 54 orang terselamat dan tujuh lagi yang cedera sedang dirawat di Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×