31 hotspot risiko tanah runtuh

31 hotspot risiko tanah runtuh

ANGGOTA penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, Hulu Selangor yang memasuki hari ketiga, semalam. - IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 31 lokasi panas atau hotspot dikenal pasti di seluruh negara sebagai kawasan potensi berlakunya ancaman tanah runtuh jika fenomena hujan lebat berterusan semasa Monsun Timur Laut.

Data itu dikeluarkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) pada awal bulan ini yang mengenal pasti beberapa kawasan berbukit tinggi, petempatan dan laluan bercerun. Ia khususnya di mana sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik berisiko bencana tanah runtuh berlaku secara mendadak atau berperingkat-peringkat dalam skala kecil atau besar.

Semakan Utusan Malaysia di laman web rasmi JMG mendapati, antara kawasan hotspot yang berisiko dan sentiasa dipantau adalah di Pahang melibatkan kawasan peranginan Cameron Highlands dan Bukit Fraser.

Memuatkan artikel berkaitan…

Turut berada dalam senarai lokasi panas iaitu di Selangor melibatkan Bukit Antarabangsa-Hulu Langat serta Kuala Kubu Bharu, diikuti Kedah (Gunung Jerai, Baling), Pulau Pinang (Tanjung Bungah, Paya Terubong), Negeri Sembilan (Genting Peras, Jalan Seremban-Simpang Pertang) dan Perak (Ipoh, Kledang).

“Di Terengganu pula melibatkan (Aring-Kuala Berang-Kenyir), Kelantan (Lojing Gua Musang), Johor (Gunung Pulai), Sarawak (Miri, Kapit, Bau) dan Sabah (Kota Kinabalu, Kundasang, Sandakan),” lapor data yang dimuat naik berkenaan.

Dalam data sama, JMG melakukan program pengurangan risiko bencana geologi tanah runtuh khususnya di taman eko rimba (TER) yang menjadi tumpuan pelancong.

Antara tempat tumpuan TER yang dilaksanakan adalah di Kedah iaitu Gunung Jerai, Puncak Janing, Telaga Tujuh dan Sungai Sedim selain di Terengganu (Chemerong dan Menderu).

“Terkini, sebanyak 25 TER dikenal pasti berpotensi memberi ancaman berlakunya aliran puing dipetakan di mana pemasangan Sistem Amaran Awal (Early Warning System) dan Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (Community-Based Disaster Risk Management CBDRM) dilaksanakan.

“la melibatkan penduduk tempatan, agensi teknikal serta agensi responder di bawah Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) peringkat daerah,” jelas data itu.

Dalam pada itu, JMG memaklumkan, sebanyak 119 daripada 254 cerun kritikal diklasifikasikan sebagai cerun kritikal tahap tinggi.

Untuk rekod, sebanyak 7,305 tanah runtuh direkodkan JMG dari 1961 hingga November lalu di seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah JMG, Hisamuddin Termidi ketika dihubungi yang mengesahkan data berkenaan berkata, pemantauan berterusan dilakukan pihaknya dalam memberi khidmat kepakaran teknikal bagi penilaian ancaman tanah runtuh.

Katanya, ia termasuk kerja-kerja melibatkan pemetaan tanah runtuh bagi dijadikan input dalam analisis penghasilan peta bahaya dan risiko cerun.

Selain itu, jelasnya, pemetaan geologi kejuruteraan turut dilakukan JMG bagi mengenal pasti cerun-cerun kritikal dan mengemukakan cadangan kepada pemegang taruh serta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tindakan mitigasi segera.

“JMG juga melakukan siasatan merangkumi runtuhan batuan, tanah runtuh, banjir lumpur, medapan tanah dan lubang benam di seluruh negara bagi membantu agensi teknikal yang berkenaan mengambil tindakan mitigasi cerun runtuhan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kebombaan Operasi dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, terdapat empat kejadian hakisan tanah di sekitar kawasan kaki bukit Genting Highlands sejak Januari lalu sehingga awal bulan ini yang direkodkan.

Kata beliau, lokasi berkenaan membabitkan kejadian di Kilometer (KM) 12 Jalan naik pusat peranginan berkenaan yang berlaku pada 17 Februari lalu.

Kejadian sama turut berlaku di KM 14.5 Jalan naik Genting Highlands pada 9 Oktober lalu.

“Selain itu, hakisan tanah cerun turun berlaku di KM 8 Jalan turun genting yang berlaku pada 13 Disember lalu dan kawasan berkenaan masih dalam pembaikan jalan.

“Pada hari sama, satu kejadian juga dilaporkan di KM 10.8 Jalan naik genting melibatkan seorang mangsa yang terhempap pokok yang jatuh dari tanah runtuh.

“Bagaimanapun, mangsa hanya cedera ringan dan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba dilokasi kejadian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN