fbpx

3 kali rumah dinaiki air, 2 kali pindah PPS – penduduk 

KEADAAN rumah Muhammad Radzi selepas dinaiki air akibat banjir kilat di Kampung Sri Tanjung, Dengkil, Selangor.

DENGKIL: Tiga kali rumah dinaiki air akibat banjir kilat dalam tempoh tiga minggu selain dua kali terpaksa berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Itu nasib menimpa pengusaha sewaan kanopi, Muhamad Radzi Ahmad, 52, bersama isteri dan tiga anaknya selepas rumahnya di Kampung Sri Tanjung, di sini dinaiki air akibat banjir kilat sejak pertengahan bulan lalu.

Muhamad Radzi berkata, dia sekeluarga terpaksa berlindung di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil pada 18 November lalu dan PPS Dewan Komuniti Taman Gemilang pada dua hari lalu.

Menurutnya, dia sekeluarga akui trauma setiap kali hujan lebat kerana kebiasaannya air sungai dan tali air berdekatan pasti akan melimpah dan memasuki rumahnya.

“Biarpun hujan selama dua tiga jam, kami mula tidak senang duduk dan akan mengalihkan barangan berharga termasuk perabot dan kelengkapan elektrik ke tempat lebih tinggi.

“Kami tidak sanggup lagi berdepan dengan situasi ini kerana sejak 30 tahun menetap di sini, tiada banjir kilat di kawasan ini kecuali sejak dua tiga tahun lalu.

“Ketika banjir besar pada Disember tahun lalu, air banjir berada pada paras bumbung dan semua barangan perniagaan saya rosak dan musnah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya, banjir kilat terutama di Kampung Sri Tanjung berpunca daripada limpahan air sungai berikutan tiada lagi kawasan tadahan air sesuai susulan pembangunan pesat yang tidak terkawal di daerah ini.

Mohamad Radzi berkata, dia turut meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memasang pam air di kawasan tali air supaya ia dapat mengalirkan air dengan cepat sekali gus boleh mengelak melimpah ke rumah penduduk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, setakat pukul 4 petang tadi, dua PPS masih dibuka yang menempatkan 119 mangsa banjir termasuk kakitangan dan klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), Kota Warisan.

Katanya, dua PPS itu termasuk Dewan Orang Ramai Dengkil yang menempatkan 19 mangsa dan Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Dengkil dengan 100 mangsa.

“Buat masa ini, kami masih memantau dua lokasi terjejas banjir iaitu Kampung Sri Tanjung dan PUSPEN berikutan air masih bertakung dan keadaan belum selamat,” katanya.

Dalam pada itu, dua PPS iaitu Dewan Komuniti Taman Gemilang dan Dewab Orang Ramai Kampung Dato’ Ahmad Razali sudah ditutup, hari ini. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN