213 mangsa banjir dipindahkan di lima PPS

213 mangsa banjir dipindahkan di lima PPS

MOHD. Rosman Abdullah (kiri) diberi taklimat jumlah mangsa banjir di PPS  SK Tok Jembal, Kuala Nerus, Terengganu, semalam. - FOTO/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seramai 213 mangsa yang terjejas banjir dipindahkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu yang mula dibuka semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd. Rosman Abdullah berkata, dua daripadanya di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus (dua) dan satu PPS di Besut.

“Setakat pukul 4 petang, seramai 33 mangsa telah ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, SK Atas Tol (33), SK Tok Jembal (115) dan SK Bukit Nenas seramai 21 orang.

“Di daerah Besut pula 11 lagi mangsa turut terjejas dengan rumah mereka dinaiki air dan ditempatkan di Surau Taman Perumahan Bukit Cina.

“Pihak kami sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat di Terengganu sehingga 11 November,” katanya kepada pemberita ketika meninjau PPS di SK Tok Jembal, di sini semalam.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai terutama di lokasi berisiko dan kawasan rendah agar mengikuti arahan pihak berkuasa sekiranya perlu berpindah ke PPS.

“Sikap degil atau enggan berpindah boleh meletakkan nyawa atau keselamatan mangsa serta pasukan penyelamat dalam bahaya,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang mangsa banjir dari Taman Uda Murni Permai, Tok Jembal di sini, Ruhani Mohamad, 58, berkata, dia dikejutkan dengan paras air yang tiba-tiba naik ketika mahu menunaikan solat Subuh kira-kira pukul 6 pagi.

Menurut pemilik kedai runcit itu, tindakan pantas anak perempuannya dan menantu meletakkan perkakas elektrik dan perabot di bahagian atas rumah menyelamatkan harta benda itu rosak.

“Berpindah ke PPS di SK Tok Jembal macam sudah jadi acara tahunan buat saya sejak hampir tiga dekad lalu. Kami pun sudah bersedia sejak dua hari lalu sebaik mendapat maklumat ramalan cuaca.

“Ketika banjir Februari lalu, banyak kerugian melibatkan barang kedai runcit yang rosak. Jadi kali ini saya, anak, menantu dan dua cucu bersedia lebih awal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN