2,018 kes demam denggi dalam tempoh seminggu

2,018 kes demam denggi dalam tempoh seminggu

AKTIVITI kawalan vektor yang melibatkan pemeriksaan premis, semburan kabus dam penghapusan tempat pembiakan nyamuk Aedes merupakan antara tindakan bagi mencegah kes demam denggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,018 kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 51/2022 iaitu 18 hingga 24 Disember lalu dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 68 kes atau 3.5 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME 51 berbanding lima kematian pada minggu sebelumnya.

Menurut beliau, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini berjumlah 64,078 kes berbanding 25,794 kes bagi tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 38,284 kes (148.4 peratus).

“Sebanyak 50 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 19 kematian bagi tempoh sama pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 31 kematian (163.2 peratus).

“Sebanyak 58 lokaliti hotspot dilaporkan minggu ini berbanding 55 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 32 lokaliti membabitkan Selangor, 16 lokaliti di Sabah diikuti enam lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya serta empat lagi di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, survelan chikungunya merekodkan sebanyak 16 kes pada minggu ke-51 dengan 10 kes di Pulau Pinang, masing-masing dua kes di Perak dan Negeri Sembila dan satu kes di Selangor dan Pahang.

“Bagi survelan zika, sebanyak 2,181 sampel darah dan 18 sampel urin disaring dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, seekor nyamuk Aedes memerlukan masa selama tujuh hari untuk melengkapkan kitaran hidup bermula daripada fasa telur, jentik-jentik, pupa sehingga menjadi nyamuk dewasa.

Justeru katanya, pemusnahan tempat pembiakan nyamuk Aedes melalui aktiviti gotong-royong serta aktiviti cari dan musnah adalah penting untuk memutuskan kitaran hidup nyamuk itu seterusnya menurunkan insiden jangkitan demam denggi.

“Sampah, barang lusuh serta barang-barang yang dihanyutkan bagi kawasan yang dilanda banjir hendaklah dilupuskan secara berhemah serta pastikan tiada air bertakung di persekitaran premis.

“Ini kerana bahan buangan tersebut dapat menyumbang kepada tempat pembiakan nyamuk Aedes kerana nyamuk Aedes hanya memerlukan takungan air yang sedikit untuk bertelur.

“Nyamuk Aedes juga dapat terbang sejauh 200 meter dari tempat pembiakan bagi mendapatkan sumber makanan serta menjangkitkan virus denggi kepada individu seterusnya sekiranya nyamuk tersebut membawa virus denggi. Persekitaran yang bersih dapat memutuskan rantaian hidup nyamuk Aedes. Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya