1.8 juta unit rumah diperlukan

1.8 juta unit rumah diperlukan

MALAYSIA ketika ini mempunyai 6.2 juta stok rumah termasuk hartanah yang belum dijual berbanding lapan juta rumah yang diperlukan penduduk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 1.8 juta unit rumah mampu milik diperlukan bagi memenuhi keperluan golongan B40 dan sebahagian kumpulan M40 dengan kaedah yang boleh ditawarkan sama ada secara pembelian, menyewa terus atau sewa beli.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia (PEHAM), Ishak Ismail berkata, kerajaan perlu menerokai dan menganalisis data sebenar jumlah penduduk yang memerlukan rumah mengikut kategori dan membina jenis rumah yang diperlukan.

Katanya, data itu harus merangkumi jumlah mereka yang tidak mampu untuk membeli rumah tetapi mampu menyewa; mereka yang mampu membeli sahaja dan ada golongan yang mampu membeli tetapi tidak ada deposit mencukupi.

Dalam hal ini, beliau berkata, kerajaan perlu mewujudkan agensi tunggal khusus yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah perumahan mampu milik.

“Tidak boleh lagi (perumahan) diletakkan di bawah pelbagai agensi kerana apabila terlalu banyak agensi menyebabkan tidak ada fokus dan sasaran untuk menyelesaikan masalah itu dengan tuntas,” katanya di sini semalam.

Terdapat sekurang-kurangnya lima agensi terlibat iaitu Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; UDA Holdings Berhad (UDA), Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Negara Berhad, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan syarikat-syarikat di bawah kerajaan negeri.

Negara ketika ini mempunyai 6.2 juta stok rumah termasuk hartanah yang belum dijual berbanding lapan juta rumah yang diperlukan penduduk.

Namun, mengikut Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), lebih 34,000 kediaman tidak terjual siap dibina bernilai RM21.7 bilion direkodkan separuh pertama tahun ini dengan Johor kekal menjadi penyumbang tertinggi iaitu lebih 6,000 unit bernilai RM4.7 bilion.

Data itu turut mencatatkan hampir 60 peratus daripada kediaman tidak terjual adalah harta tanah kondominium atau pangsapuri dengan 43 peratus dalam lingkungan harga lebih daripada RM500,000 seunit.

Purata harga rumah mampu milik adalah berbeza mengikut lokaliti dan negeri, sebagai contoh di Selangor di bawah projek Rumah SelangorKu, ia adalah antara RM42,000 hingga RM250,000 mengikut saiz keluasan dan kemudahan yang disediakan.

Pembentukan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim harus menyelesaikan isu yang sudah berpanjangan sekian lama secara tuntas, apatah lagi penyediaan rumah mampu milik terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Ishak berkata, ketiadaan kesepakatan dari segi dasar selain kelompongan data yang boleh diintegrasikan menyebabkan isu perumahan ini berlarutan sampai bila-bila.

“Saya percaya jika rumah mampu milik dibina di kawasan strategik, saya yakin semua sudah terjual malah tidak mencukupi,” katanya.

Dalam pada itu, Ishak berkata, kerajaan juga perlu menetapkan kadar sewa rumah pada kadar yang munasabah dan dikawal supaya ia tidak melonjak kepada kadar terlampau tinggi sehingga membebankan mereka yang mahu menduduki kediaman.

Pada masa sama, katanya, kerajaan perlu membuat penyusunan semula kaedah sewa rumah di projek perumahan rakyat (PPR) dengan mengubah status mereka yang layak menduduki.

Kata beliau, mana-mana isi rumah yang berpeluang menyewa di PPR tidak boleh dibiarkan mereka berterusan menerima manfaat itu sampai bila-bila sehingga menafikan peluang orang lain yang baru memulakan kehidupan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN