PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kecederaan seorang warga emas di Kampung Pandan Dalam, Ampang, di sini, Selasa lalu.
Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya menerima panggilan daripada orang awam menyatakan terdapat pergaduhan di lokasi kejadian pada pukul 2.24 petang.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati pergaduhan melibatkan dua lelaki tempatan iaitu mangsa berusia 60 tahun dan suspek berumur 39 tahun.
“Semasa kejadian, mangsa bersama isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki kereta namun berlaku perselisihan faham dengan suspek yang menaiki motosikal.
“Akibat kejadian berkenaan telah berlaku pergaduhan di antara mangsa dan suspek dengan menggunakan senjata batang golf, parang dan sebatang besi pengunci stereng,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, kata beliau, mangsa mengalami kecederaan patah di tangan kanan, luka di tangan kiri dan kanan dan pendarahan dalam otak manakala suspek mengalami kecederan di bahagian kepala.
Ujarnya, kedua-dua mereka telah mendapatkan rawatan di Hospital Ampang.
“Punca kejadian dipercayai akibat salah faham dalam penggunaan jalan raya di antara mangsa dan suspek,” katanya.- UTUSAN