KUALA NERUS: Seorang wanita maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Wakaf Tengah, di sini, hari ini.
Kejadian pukul 11.30 pagi itu dipercayai berlaku ketika mangsa, Siti Nur Shahira Makhtar, 32, yang bekerja sebagai tukang masak di Hospital Sultanah Nur Zahirah dalam perjalanan ke tempat kerjanya itu.
Setibanya di lokasi, mangsa dipercayai cuba mengelak sebuah Perodua Myvi sebelum terbabas dan merempuh bahagian belakang pacuan empat roda, Mitsubishi Triton yang diletakkan di tepi jalan.
Rempuhan itu turut menyebabkan mangsa terperosok di bawah kenderaan pacuan empat roda terbabit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Mohd. Shahril Abd. Halim, sepasukan sembilan anggota dan dua jentera kemudian bergegas ke tempat kejadian.
“Pasukan menyelamat mengambil masa lapan minit untuk menolak pacuan empat roda itu dan mengeluarkan mangsa dari bawah kenderaan berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau menambah, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN