Vape ganja dijual secara terbuka - Utusan Malaysia

Vape ganja dijual secara terbuka

ANTARA cecair rokok elektronik yang dijual secara dalam talian dan mengandungi bahan terlarang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perniagaan cecair rokok elektronik (vape) yang mengandungi dadah semakin berleluasa dalam talian apabila ia kini dipasarkan secara terang-terangan kepada pengguna bahan tersebut.

Penjual-penjual dadah berbentuk cecair itu boleh dilihat dalam laman sosial seperti Facebook, Instagram dan setiap penjual mempunyai kumpulan Telegram yang menghimpunkan maklum balas daripada pembeli-pembeli terdahulu.

Ia dijual dengan harga se­tinggi RM160 untuk satu botol bagi 10 milimeter dan sekiranya pengguna membeli secara ba­nyak dalam satu pembelian iaitu sebanyak 10 botol, harganya akan menjadi RM1,200.

Melalui penyamaran Utusan Malaysia sebagai pembeli, penjual mendakwa cecair vape itu mengandungi cannabidiol (CBD) iaitu antara kan­dungan bahan aktif yang boleh ditemukan dalam kanabis.

Menurut gambar yang dihantar, penjual berkata, terdapat label atau ‘jenama’ yang mempunyai kesan lebih kuat kepada pengguna iaitu membuat pengambil berasa khayal berbanding jenama lain.

“Ini CBD boss, urine pasti clear. Ini (cecair vape) mestilah stim (khayal) boss, kalau tidak stim pelanggan tetap takkan beli semula. Jenama paling khayal adalah Godzilla dan Paris,” kata penjual ketika dihubungi.

Seorang lagi penjual mendakwa, cecair vape yang dijual olehnya mengandungi tetrahydrocannabinol (THC) iaitu me­rupakan bahan psikoaktif yang memberi kesan halusinasi serupa pengambilan kanabis kepada pengguna.

“Ini original (asli THC) boss. Saya berani jamin, kalau tidak percaya boss cuba beli, urine test lepas itu tengok. Pasti takkan sangkut,” katanya ketika dita­nya adakah ia asli THC atau mempunyai dadah jenis ketamine.

Ketika disoal bagaimana bahan cecair tersebut dihantar kepada pengguna, penjual memaklumkan, ia boleh dihantar menggunakan perkhidmatan kurier iaitu di kawasan Semenanjung akan dicaj RM10, manakala bagi Sabah dan Sarawak pula dikenakan RM20.

“Kalau nak guna servis penghantaran pula dari 10 pagi hingga 11 malam sahaja, nak ambil sendiri di kawasan ibu kota,” katanya.

Perkara ini lebih membimbangkan apabila ketiga-tiga penjual yang dihubungi tidak bertanyakan berkenaan umur, ia membuktikan bahawa golongan belia khususnya pelajar sekolah menengah juga berpotensi menjadi pembeli atau pengguna.

Dadah berbentuk cecair vape ini lebih gemar digunakan ke­rana ia berbentuk cecair biasa, ia membuat pengguna berani menghisap di kawasan umum kerana bau asapnya seakan-akan perisa buah-buahan.

Malah, difahamkan bahawa kebiasaannya pengguna akan mencampurkan cecair ber­kenaan dengan cecair vape biasa, menjadikan ia mudah disimpan dan dibawa ke mana sahaja tanpa disyaki.

Mengesahkan bahawa gambar cecair berkenaan adalah dadah, seorang penjual barangan vape yang hanya ingin dikenali sebagai Hassan berkata, cecair mengandungi bahan terlarang itu memang dijual di dalam bentuk tersebut.

“Ini saya pernah tengok, memang dah ada bukti bahawa ia adalah dadah dan ada juga kena rampas. Perisa ganja pun ada,” jelasnya.

Menghubungi sebuah kedai vape di Seri Kembangan, penjual berkenaan memberitahu cecair vape yang dijual di laman media sosial tersebut adalah barang larangan kerana mengan­dungi THC.

“Sepatutnya ia tidak boleh dijual di mana-mana kedai atau perseorangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya