PETALING JAYA: Untung bersih Telekom Malaysia Bhd. (TM) bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 mencatatkan penurunan kepada RM265.19 juta, susut 2.2 peratus daripada RM271.21 juta yang direkodkan pada suku sama tahun lalu.
Penyusutan itu disebabkan oleh pembayaran cukai yang lebih tinggi dan kerugian pertukaran mata wang asing atas pinjaman.
Bagaimanapun, TM berkata, hasil operasi Kumpulan naik 12.7 peratus kepada RM3.16 bilion, daripada RM2.80 bilion pada suku ketiga 2021, hasil tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh sepuluh suku terakhir.
“Tumpuan yang diberikan TM untuk memperkukuh perniagaan terasnya dan kecekapan operasi terbukti kukuh dan berdaya tahan, menunjukkan pertumbuhan berterusan biarpun dalam persaingan yang semakin mencabar.
“Pelaburan berterusan untuk pertumbuhan dan peningkatan pengalaman pelanggan sentiasa menjadi elemen yang mendorong kemajuan TM.
“Kumpulan telah melabur perbelanjaan modal (Capex) sebanyak 19.1 peratus daripada hasil pada suku ini, berjumlah RM603.7 juta bagi memenuhi permintaan pelanggan menerusi perluasan fiber, pemodenan rangkaian dan naik taraf teknologi,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Imri Mokhtar berkata, momentum pertumbuhan TM dijangka berterusan bagi tahun ini dalam segmen perniagaan teras iaitu Unifi, TM One dan TM Wholesale.
Ujarnya, TM akan terus melabur dalam keupayaan teknologi, bidang pertumbuhan baharu iaitu FMC dan penyelesaian digital, serta dalam pembinaan kapasiti dan bakat digital di dalam TM sambil kekal fokus terhadap meningkatkan jumlah pelanggan dan meneruskan disiplin kos operasi.
“Persaingan dalam FMC dan bidang digital semakin sengit. Kami sedang memperkukuh perniagaan mudah alih kami dengan strategi dan keupayaan yang tepat untuk membawa TM kepada era konvergen sebenar.
“Tahun ini merupakan tahun untuk kami membina daya tahan komersial kami bagi mendepani cabaran 2023 dengan penyusutan pertumbuhan ekonomi, kos rantaian bekalan yang tinggi dan perbelanjaan pelanggan yang lebih berhati-hati.
“Dalam evolusi kami daripada sebuah syarikat Telekomunikasi bersepadu kepada sebuah syarikat teknologi berteraskan insan, kami terus memfokus kepada pelaksanaan program-program transformasi yang telah menunjukkan hasil-hasil kukuh buat para pelanggan dan pihak berkepentingan kami,” ujarnya. – UTUSAN










