Undi BN dijangka pecah, beri kelebihan PN di Titi Tinggi

Undi BN dijangka pecah, beri kelebihan PN di Titi Tinggi

IZIZAM Ibrahim beramah mesra bersama penduduk di Titi Tinggi, Padang Besar, Perlis.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang cerah menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi selepas Datuk Zahidi Zainul Abidin turut bertanding di kawasan itu atas tiket Bebas.

Calon PN DUN Titi Tinggi, Izizam Ibrahim berkata, langkah Zahidi yang memilih untuk bertanding di kawasan DUN itu dijangka menggangu undi Barisan Nasional (BN) sekali gus memberi kelebihan buatnya untuk merampas kerusi itu.

Katanya, kesan perpecahan di dalam BN sememangnya dapat dilihat secara jelas apabila kempen-kempen yang dilaksanakan mereka tidak semeriah dahulu.

“Saya memang sudah lama berkhidmat di sini dan dengan perkembangan krisis dalam BN ketika ini, kita menjangkakan PN mempunyai peluang cerah untuk menang walaupun akan berlaku perpecahan undi,” katanya di sini hari ini.

DUN Titi Tinggi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan Izizam (PN); Teh Chai Aan (BN); Teh Seng Chuan (PH); Mohd. Shahril Md. Sarif (GTA); Khaw Hock Kong (Warisan) dan Zahidi (Bebas)

Pada PRU14 lalu, Chai Aan menang tipis di kerusi itu dengan majoriti 142 undi menerusi pertembungan tiga penjuru membabitkan calon PKR dan Pas. 

Mengulas mengenai momentum kempen ketika ini, Izizam berkata, walaupun beliau mempunyai peluang cerah untuk menang, namun pihaknya enggan terlalu selesa dan akan mendekati seramai mungkin pengundi termasuk anak-anak muda.

“Saya cuba mendekati seramai mungkin pengundi dan setakat ini sudah 60 peratus kawasan kita sudah masuk di sekitar DUN Titi Tinggi,” katanya.

Tambahnya, beliau turut mempunyai beberapa perancangan buat anak muda di kawasan itu sekiranya terpilih antaranya dengan meneruskan program-program yang dilaksanakan sebelum ini buat mereka.

“Kita akan buat program seperti pemberian petrol percuma, konvoi, sukan dan pelbagai lagi bagi merancakkan penglibatan golongan belia bersama PN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya