Tidak berlaku Parlimen tergantung

Tidak berlaku Parlimen tergantung

Yang di-Pertuan Agong Agong mempunyai kuasa memilih Perdana Menteri walaupun tiada gabungan politik dominan atau mendapat majoriti mudah selepas keputusan PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa memilih Perdana Menteri walaupun tiada gabungan politik dominan atau mendapat majoriti mudah selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diketahui selewat-lewatnya awal pagi esok.

Rundingan bagi membentuk kerajaan campuran boleh berlaku sebelum atau selepas Seri Paduka Baginda melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat undi kepercayaan majoriti ahli parlimen.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, selepas pelantikan Perdana Menteri dibuat, rundingan bagi mewujudkan kerajaan campuran boleh diadakan melalui pembentukan kerajaan minoriti.

Menurut beliau, mengikut Perkara 40 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai budi bicara melantik Perdana Menteri mengikut proses yang ditetapkan Perkara 43(2)(a)  tanpa terikat dengan mana-mana konvensyen negara luar termasuklah Westminster.

“Pelantikan Perdana Menteri adalah prerogatif baginda selagi tiada yang membataskan tatacaranya secara nyata melalui peruntukan bertulis Perlembagaan Persekutuan.

“Perdana Menteri yang dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong jika tiada gabungan politik yang dominan boleh diuji sama ada mampu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat selepas dilantik,” kata beliau semalam.

Wan Ahmad Fauzi yang juga pengasas Jurisprudens Watan dari Universiti Malaysia Pahang berkata, kepercayaan itu boleh dibuktikan sama ada melalui proses undi percaya di Parlimen, jumlah sokongan akuan bersumpah (SD) atau kaedah lain yang boleh memuaskan hati baginda.

Katanya, ia melainkan tiada usul tidak percaya dikemukakan oleh mana-mana ahli Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri.

“Jika berlaku kejatuhan kerajaan akibat undi tidak percaya secara berulang, maka penyelesaian terakhir ialah melalui pembubaran semula Parlimen untuk PRU baharu.

“Tidak salah dari sudut undang-undang Perlembagaan jika seorang ahli Dewan Rakyat menyatakan sokongan kepada mana-mana ahli Dewan Rakyat sebagai calon Perdana Menteri walaupun daripada gabungan parti berbeza, tanpa perlu keluar daripada parti yang diwakilinya,” katanya.

Mengulas lanjut, kata beliau, undang-undang Anti Lompat Parti yang diluluskan baru-baru ini, khususnya Perkara 49A tidak menghalang keadaan itu berlaku (sokongan pelantikan Perdana Menteri daripada parti berbeza), malah keanggotaan seorang ahli Parlimen tidak terjejas akibat keahlian partinya dilucutkan.

Ini kerana, menurut beliau, seorang ahli Parlimen boleh terlucut keanggotaannya jika dia meninggalkan atau melepaskan keahlian partinya sahaja mengikut undang-undang baharu berkenaan.

“Agong tidak terikat secara mutlak untuk hanya memilih pengerusi gabungan, presiden parti atau ‘poster boy’ sebagai PM. Inilah bezanya kedudukan raja berdaulat di Malaysia menurut Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan dengan sistem Westminster yang kedaulatannya terletak pada Parlimen.

“Keputusan akhir dalam pemilihan Perdana Menteri tertakluk pada budi bicara dan kebijaksanaan baginda. Baginda mempunyai prerogatif untuk menimbangkan  calon tersebut berdasarkan pada keperluan semasa dan calon yang ada,” katanya.

Wan Ahmad Fauzi berkata, dalam sistem Perlembagaan, kuasa eksekutif terletak pada Agong dan baginda perlu memilih seorang pemimpin rakyat untuk mengetuai Jemaah Menteri  bagi maksud melaksanakan fungsi kuasa baginda.

Justeru, katanya, pemimpin tersebut juga perlu mempunyai kriteria yang sesuai untuk menjunjung amanah Perlembagaan, seorang yang boleh mempertahankan kedaulatan undang-undang, sistem beraja dan ketinggian Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya