fbpx

Sokong PM melalui SD bukan maksud sokong parti

PENGAMAL media menunggu di luar Hotel St. Regis, Kuala Lumpur, semalam bagi mengikuti perkembangan kemelut pembentukan kerajaan yang masih tergantung.

PUTRAJAYA: Sokongan mana-mana ahli Parlimen kepada calon lain dalam kalangan parti berbeza untuk dilantik sebagai Perdana Menteri tidak bermakna ia sebagai satu penzahiran sokongan kepada parti lawan secara total.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguambela dan Peguamcara, Mohd. Zainuddin Omar berkata, dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan tidak semestinya bermaksud menyokong parti lain, tetapi hanyalah bagi maksud pelantikan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong.

Beliau menjelaskan, peruntukan itu juga tidak menyatakan atau mengehad bagaimana cara sokongan itu perlu diberikan sama ada dizahirkan melalui akuan bersumpah (SD), secara pengisytiharan terbuka atau sebagainya.

Pada masa sama, beliau berkata, ia juga tidak mengehadkan bahawa sokongan mestilah hanya dari parti yang menang dan mesti bersama membentuk kerajaan.

“Parti yang kalah boleh memilih untuk menjadi pembangkang, tetapi juga boleh menamakan seorang ahli Dewan Rakyat sebagai calon Perdana Menteri untuk mengetuai kerajaan yang hendak dibangkang.

“Parti yang kalah dan ahli-ahli parti masih boleh kekal sebagai pembangkang, tetapi boleh menzahirkan sokongan kepada seorang ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

“Jadi maksud frasa ayat ‘sokongan’ yang digunakan dalam Perkara 43 patut difahami sebagai sokongan untuk menamakan seorang ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri, bukan sokongan untuk membentuk kerajaan,” katanya di sini semalam.

Zainuddin berkata, walaupun secara konvensyennya, parti yang menang dan mempunyai banyak majoriti menamakan Perdana Menteri, tidak salah dalam konteks Perkara 43 itu untuk menamakan mana-mana ahli Dewan Rakyat dalam kalangan parti yang tidak banyak majoriti.

Kata beliau, ia seperti mana berlaku ketika kerajaan Perdana Menteri Ke-8 dan Perdana Menteri Ke-9, walaupun UMNO memutuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO menolak Bersatu, sokongan diberikan pada waktu itu kepada Perdana Menteri Ke-8 dan kemudiannya Perdana Menteri Ke-9 iaitu dari ahli Parlimen UMNO untuk menjadi Perdana Menteri.

Mengenai SD pula, beliau berkata, ia bukanlah satu-satunya cara untuk menzahirkan sokongan kerana Perkara 43 tidak menetapkan cara bagaimana sokongan tersebut perlu dizahirkan.

Bagaimanapun, katanya, SD adalah suatu instrumen di bawah Akta Akuan Berkanun 1960, yang mana suatu pernyataan bersumpah diberikan.

Beliau menjelaskan, pelanggaran akuan bersumpah atau sumpah bohong boleh menyebabkan pembuat sumpah didakwa atas sumpah bohong.

Sebagai suatu instrumen perundangan, kata beliau, sekiranya sokongan dizahirkan melalui SD, ia kekal sah melainkan sokongan tersebut ditarik balik melalui instrumen perundangan yang sama statusnya, iaitu dibatalkan melainkan SD lain yang membatalkan SD yang terdahulu.

“Ia tidak memadai dan menyalahi Akta Akuan Berkanun sekiranya ia dibatalkan bukan melalui suatu perakuan sumpah terkemudian yang membatalkan atau menukar SD yang terdahulu, apatah lagi jika pembatalan tersebut dibuat oleh orang lain sebagai wakil.

“Dalam hal SD, hanya pembuat SD boleh membatalkan (revoke) SD (terdahulu) mereka sendiri melalui SD baharu. Perakuan SD ibarat pernyataan yang dibuat di dalam mahkamah secara bersumpah dan tidak boleh diatasi dengan pernyataan casual di luar mahkamah yang tidak dibuat secara bersumpah,” katanya.

Dalam situasi politik ketika ini, Zainuddin berkata, penzahiran sokongan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kepada calon lawan tidak semestinya bermaksud menyokong parti lawan atau memilih seorang dalam kalangan parti lawan sebagai ketua atau menyertai parti itu, tetapi boleh juga diertikan menamakan ketua untuk lawan.

Katanya, tiada syarat sokongan perlu didedahkan, melainkan ia perlu dizahirkan melalui undi percaya di Parlimen. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN