Siasat segera surat tular Zahid cuba tipu Agong - Tun Faisal

Siasat segera surat tular Zahid cuba tipu Agong – Tun Faisal

TUN Faisal Ismail Aziz menunjukkan laporan polis berkaitan surat Pengerusi BN yang didakwa cuba menipu Yang di-Pertuan Agong di IPD Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis diminta menyiasat segera Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi susulan tular kandungan surat yang dikatakan cuba mengelirukan dan menipu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kandungan surat yang didakwa ditandatangani Ahmad Zahid itu memutuskan bahawa semua 30 ahli Parlimen BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, sedangkan ia sebaliknya.

Beliau berkata, iika kandungan surat ini benar, maka terdapat cubaan daripada Ahmad Zahid untuk mengelirukan dan menipu Yang di-Pertuan Agong dan ia adalah satu kesalahan yang amat berat.

“Saya membuat laporan polis hari ini untuk meminta polis agar segera membuat siasatan dan tindakan undang-undang dapat diambil ke atas Ahmad Zahid.

“Saya difahamkan wakil MCA dan MIC juga menafikan kandungan surat yang didedahkan oleh Pengerusi BN itu,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, hari ini.

Katanya, Ahmad Zahid patut malu dengan tindakan cubaan menipu terhadap Yang di-Pertuan Agong itu.

Tun Faisal berkata, beliau juga mahu Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) UMNO supaya mengusulkan tindakan disiplin kepada Ahmad Zahid kerana melanggar dan membelakangkan keputusan parti.

Menurutnya, beliau juga akan membuat aduan kepada MKT UMNO dalam masa terdekat.

“Saya juga mahu Ahmad Zahid melepaskan jawatan sebagai Presiden parti dan bertanggungjawab terhadap kandungan surat yang tular itu.

“Hari ini, beliau sudah membelakangi bukan sahaja keputusan Dewan Tertinggi BN tetapi keputusan MKT iaitu ‘No Anwar, No DAP’,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga perlu segera undur kerana kegagalan beliau membawa kemenangan BN pada pilihan raya umum lalu yang sepatutnya menang kerusi lebih banyak.

Menurutnya, strategi Ahmad Zahid dalam pemilihan calon dan menggugurkan calon boleh menang juga membuktikan kegagalan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

“Kegagalan Ahmad Zahid juga disebabkan tindakannya memutuskan hubungan dengan parti Melayu dan Islam lain yang menyebabkan BN bertanding solo sebelum kalah teruk.

Katanya, jika Ahmad Zahid gagal dipecat, maka usaha untuk memulihkan imej BN dan UMNO akan berdepan kesukaran selain menyukarkan rundingan dengan parti lain.

Sebelum ini, Ketua Bahagian UMNO Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan bahawa mesyuarat BN memutuskan tidak menyokong mana-mana calon Perdana Menteri dan ia konsisten sebagaimana kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya