KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca insiden kekecohan di Tenom hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu mengutuk sebarang kekerasan dan kekacauan dalam apa juga bentuk semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Justeru, beliau meminta orang ramai terutama penyokong mana-mana parti agar tidak emosi dan kekal tenang bagi memastikan kelancaran pilihan raya pada kali ini.
Hajiji berkata demikian semasa mengulas mengenai insiden di pusat penamaan calon di Tenom pagi tadi.
Difahamkan insiden rusuhan itu berlaku selepas pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony ditolak.
Insiden rusuhan yang berlaku menyebabkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan penyokong parti KDM yang menimbulkan kekecohan di pekarangan Dewan DSP Antanom. -UTUSAN










