Sejarah tercipta, dua calon Bebas 'cuba nasib' Putrajaya

Sejarah tercipta, dua calon Bebas ‘cuba nasib’ Putrajaya

SERAMAI 6 calon berebut kerusi Putrajaya. - UTUSAN/MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Buat pertama kalinya dalam sejarah sejak pilihan raya umum 2004, kerusi Parlimen P125 Putrajaya ditandingi calon Bebas.

Lebih menarik, bukan seorang calon, tetapi dua calon Bebas berentap merebut kerusi Putrajaya bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini sekali gus menyaksikan pertembungan enam penjuru.

Sejak pilihan raya umum kali pertama di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada 2004 lalu, Putrajaya hanya ditandingi persaingan dua penjuru dan tiga penjuru.

Dua calon Bebas itu bersaing dengan empat calon lain masing-masing daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pejuang dan Pakatan Harapan (PH).

Majlis pengesahan calon bertanding bagi Parlimen Putrajaya diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Putrajaya, Shamshul Joehari Zainal Mokhtar, hari ini.

Dua calon Bebas berkenaan ialah Samsudin Mohamad Fauzi, 46, dan Lim Fice Bee, 44, manakala empat calon lain membabitkan penyandang kerusi, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (BN); Datuk Dr. Radzi Jidin (PN), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (PKR) dan Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang).

Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan ketika ditemui selepas proses penamaan calon berkata, beliau mengesahkan tidak pernah ada calon Bebas bertanding di sini sejak 2004.

“Tidak pernah ada calon Bebas di sini sejak 2004,” katanya yang menyertai empat pilihan raya umum di sini masing-masing pada 2004, 2008, 2013, 2018 lalu.

Pada PRU14 lalu, Tengku Adnan berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya buat penggal keempat apabila menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat.

Untuk rekod, Ku Nan pernah menewaskan calon PKR, Abdul Rahman Othman pada 2004, Mohamad Noor Mohamad (Pas) pada 2008, Husam Musa (Pas) pada 2013 dan Zainal Abidin Kidam (Pas) serta calon PKR, Datuk Dr. Samsu Adabi Mamat pada 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya