PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta menyegerakan pelantikan lima menteri membabitkan kementerian-kementerian bagi memastikan isu berkaitan rakyat yang berlarutan sejak lima tahun lalu dapat diselesaikan secepat mungkin.
Kementerian tersebut adalah Pendidikan; Pertahanan; Kewangan/Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Ini berikutan pelantikan penuh Menteri Kabinet dijangka berlarutan sehingga pertengahan Disember tahun ini berikutan isu-isu bertindih melibatkan parti-parti gabungan.
Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, ini kerana Perdana Menteri dilihat tersepit untuk menyenaraikan nama menteri dan timbalan di bawah pimpinannya, dalam masa yang sama beliau perlu memikirkan keadilan untuk setiap parti dalam kerajaan perpaduan itu.
Dalam hal ini juga, sumber turut mendakwa keadaan lebih kritikal apabila wujud perebutan jawatan Timbalan Perdana Menteri di samping perebutan sesetengah parti untuk jawatan menteri kanan seperti Pertahanan, Pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri.
Pada masa sama, terdapat desakan pelbagai pihak termasuk veteran politik dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) supaya mereka yang terbabit dalam Kluster Mahkamah tidak dilantik dalam Kabinet.
Untuk rekod bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melantik seramai 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri.
Namun akhbar ini pernah melaporkan, 25 menteri sudah mencukupi untuk mengemudi pentadbiran Kerajaan Persekutuan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Sementara itu, Anwar ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, beliau mengambil pandangan semua pihak untuk pembentukan Kabinet.
“(Dijangka) sesegera mungkin sebab seperti mana saya sebut, tidak seperti mana (amalan) biasa, kerajaan perpaduan ini melibatkan banyak parti, jadi saya sebelum buat keputusan mesti mendengar semua pandangan,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik, Prof Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, meskipun Anwar dijangka mengoptimumkan jumlah kementerian, pembentukan Kabinet perlu memberi tumpuan kepada tiga bidang keutamaan iaitu ekonomi, kestabilan kerajaan dan hal ehwal luar.
Katanya, isu membelenggu rakyat seperti kos sara hidup, kesan Covid-19, keselamatan dan kedaulatan negara, pendidikan dan isu perumahan menuntut lima kementerian ini diwujudkan segera bagi mencari penyelesaian tuntas terhadap permasalahan berkenaan.
Justeru, kata beliau, pelantikan peneraju kementerian penting perlu dilakukan segera atau sebelum sidang Parlimen 19 Disember ini bagi melancarkan pentadbiran kerajaan setelah Dewan Rakyat dibubarkan pada 10 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Bagi kementerian lain pula, ia boleh dilakukan selepas Parlimen bersidang. Jadi buat masa sekarang wujudkan lima kementerian penting dahulu yang merangkumi tiga bidang iaitu ekonomi, kestabilan dan hal ehwal luar bertujuan menggalas tanggungjawab besar dalam melaksanakan agenda kerajaan pimpinan Anwar.
“Malah rakyat kini memandang tinggi terhadap beliau untuk menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi pada selama ini. Jadi segala dasar ini hanya digerakkan oleh kementerian bakal diwujudkan selepas ini,” katanya ketika dihubungi.
Kelmarin, Anwar memaklumkan pengumuman senarai Kabinet mengambil masa beberapa hari lagi dengan perbincangan untuk melantik menteri turut sedang dilaksanakan bersama parti gabungan PH.
Setakat ini, kerajaan perpaduan disertai PH mempunyai 82 kerusi dan diikuti Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23) serta Gabungan Rakyat Sabah (enam) dengan keseluruhan kekuatan kini hampir mencecah dua pertiga ahli Parlimen.
Ahmad Atory berkata, selain menyegerakan pembentukan Kabinet, paling penting adalah meletakkan individu kompeten untuk mengetuai kementerian-kementerian terlibat dengan memilih dalam kalangan ahli Parlimen terbaik.
Jelasnya, Anwar perlu mengelak memilih menteri yang terpalit dengan kontroversi dan kes-kes mahkamah supaya tidak menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan pimpinan beliau kelak.
“Dalam kalangan 30 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), bukan semua tidak baik, ada yang terbaik, jadi pilihlah terbaik. Begitu juga dengan PH dan parti-parti lain. Kalau tiada sekalipun, lantik pemimpin lain daripada parti berkenaan sebagai Senator untuk diangkat sebagai anggota Kabinet,” katanya.
Bagaimanapun beliau melihat tiada keperluan melantik calon-calon luar sebagai menteri memandangkan kerajaan Anwar bersifat kerajaan campuran dan perlu melibatkan wakil-wakil daripada parti politik menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, tugas getir menanti Anwar termasuk mewujudkan pasukan Kabinet yang efektif untuk menguruskan negara dan ketidaktentuan serta cabaran ekonomi pada 2023.
“Melantik pasukan Kabinet yang diyakini adalah tugas utama agar barisan menteri dapat memberi keyakinan sama ada kepada rakyat dan pelabur,” jelasnya.
Beliau menambah, Anwar juga berhadapan tugas besar untuk menyatupadukan rakyat pasca PRU15 di samping meredakan ketegangan politik setelah keputusan Parlimen tergantung. – UTUSAN










