‘Saya bukan calon pembangkang’-Ronald Kiandee

‘Saya bukan calon pembangkang’-Ronald Kiandee

RONALD Kiandee semasa program santai di Kampung Muanad 3, Beluran semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELURAN: Bertindak menentang calon Barisan Nasional (BN) di Beluran, calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menegaskan beliau bukan calon pembangkang.

Penyandang kerusi Parlimen Beluran itu berkata, bukan pertama kali logo PN digunakan di negeri ini kerana semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 2020, logo PN telah digunakan oleh calon-calon di Sabah.

“Saya adalah ahli Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) maka, tidak berbangkit sama sekali soal bahawa saya kononnya calon pembangkang.

“Bersatu adalah komponen parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan juga komponen penting dalam gabungan PN di peringkat nasional,” katanya semasa program santai di Kampung Muanad 3, semalam.

Beliau berkata, setiap kerusi yang dimenangi oleh calon GRS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pasti akan mengukuhkan jumlah kerusi dimenangi PN di peringkat nasional.

“Saya yakin, Perikatan Nasional merupakan platform tepat bagi saya terus mengangkat aspirasi masyarakat Beluran di peringkat nasional,” katanya.

Menurut beliau, dalam kerajaan yang lalu, PN memiliki 46 kerusi Parlimen dan 12 daripadanya dilantik sebagai menteri Kabinet Persekutuan manakala, Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai 42 kerusi sahaja.

Penyandang kerusi Parlimen Beluran, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu juga menegaskan bahawa agenda paling besar ketika ini adalah mengangkat isu-isu rakyat mengenai kekurangan kemudahan infrastruktur dan jurang perbezaan peruntukan yang ketara terutama di kawasan luar bandar seperti Beluran.

“Pembangunan dan kemajuan di Beluran perlu diteruskan bersandarkan kepada visi, rancangan dan pelan yang dibawa serta kemampuan pemimpin. Ia bukan bersandarkan kepada politik kotor dan serangan peribadi untuk melemahkan pihak lawan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kerusi Parlimen Beluran menyaksikan pertembungan lima penjuru dan situasi itu dianggap sebagai perlawanan mesra yang perlu diterima dengan matang oleh semua pihak.

Jelas beliau, pertembungan sebegitu turut dilaporkan berlaku di Ranau yang memperlihatkan calon Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Ewon Ebin akan bertanding menentang calon GRS, Datuk Jonathan Yasin.

Calon lain yang bertanding ialah Rowiena Rasid daripada Parti Warisan (WARISAN), Hausing Samsudin @ Sudin (Parti Pejuang Tanah Air) dan Felix Joseph Saang daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mewakili Pakatan Harapan (PH).

Pertembungan kerusi antara calon GRS dan BN turut berlaku di kerusi Parlimen Tenom yang menyaksikan Ketua Armada Bersatu Tenom, Riduan Rubin yang tampil sebagai calon bebas bagi bersaing dengan calon BN, Jamawi Jaafar. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya