Remaja 19 tahun mangsa sindiket pekerjaan luar negara bersyukur diselamatkan - Utusan Malaysia

Remaja 19 tahun mangsa sindiket pekerjaan luar negara bersyukur diselamatkan

JOHNNY CH’NG bersama mangsa sindiket pekerjaan luar negara yang berjaya dibawa pulang, Koh Sheng Yur dan ibunya, Madam Loke di LTAPP, Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Penderitaan seorang remaja berusia 19 tahun yang dikurung sindiket pekerjaan di kawasan bersempadan antara Thailand dan Myanmar berakhir selepas dia berjaya dibawa pulang ke Malaysia, Selasa lalu.

Mangsa, Koh Sheng Yur yang berasal dari Pekan, Pahang berjaya diselamatkan hasil bantuan pelbagai pihak hasil inisiatif Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang juga calon kerusi Parlimen Balik Pulau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Datuk Seri Johnny Ch’ng.

Menceritakan kisahnya, Sheng Yur yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik berkata, dia mula terjebak dengan sindiket itu selepas melihat iklan tawaran kerja dalam bidang telekomunikasi menerusi laman sosial Facebook pada April lalu.

Tertarik dengan gaji lumayan yang ditawarkan iaitu antara RM5,000 hingga RM6,000, Sheng Yur menghubungi ejen terbabit yang kemudian memintanya datang ke Kelantan.

Setibanya ke Kelantan katanya, dia bertemu seorang lelaki warga tempatan yang membawanya memasuki Thailand terus ke sempadan Myanmar menggunakan laluan tikus menyeberangi Sungai Golok.

Tambahnya, setibanya di sana, dia ditempatkan di sebuah rumah pangsa bersama hampir 200 rakyat Malaysia lain yang berumur antara 18 hingga 40 tahun termasuk kaum Melayu dan Cina.

Ujarnya, penderitaannya bermula selepas dia dipaksa bekerja sebagai `scammer’ dengan cuba menipu rakyat Amerika Syarikat (AS) menerusi panggilan telefon.

“Selama di sana, saya bekerja tanpa dibayar gaji dan hanya diberikan makan sekali sehari. Malah, saya juga didena berlari keliling padang dan membawa tong air menaiki tangga setinggi lima tingkat kerana gagal mendapatkan mangsa untuk ditipu.

“Saya juga ditampar kerana tertidur sewaktu bekerja dan pada kebanyakan masa, saya menangis kerana mahu pulang ke Malaysia,” katanya.

Menurut Sheng Yur, dia pernah merayu untuk dilepaskan daripada sindiket itu, namun diminta membayar wang pampasan sebanyak RM50,000.

Bagaimanapun katanya, dia bersyukur apabila seorang rakyat Malaysia membawanya keluar dari kawasan tersebut kira-kira sebulan lalu dan dengan bantuan pihak berkuasa serta kedutaan, dia akhirnya berjaya pulang ke tanah air dan tiba di  Kuala Lumpur, Selasa lalu.

“Ini merupakan pengalaman yang sangat perit buat saya dan saya merayu orang ramai di luar sana tidak mudah mempercayai tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan di media sosial.

“Kesemua mangsa orang Malaysia di sana semuanya menderita dan mahu pulang ke tanah air, namun mereka tidak bernasib baik seperti saya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, ibu mangsa hanya mahu dikenali sebagai Madam Loke, 57, berkata, dia sanggup hadir ke Pulau Pinang dari Pahang semata-mata untuk berterima kasih kepada Johnny yang sanggup bersusah-payah membantunya dalam usaha menyelamatkan anak bongsunya itu.

Ujarnya, dia dan keluarga hilang punca dan buntu untuk menyelamatkan anaknya itu sehinggalah diperkenalkan kepada Johnny menerusi seorang rakan yang akhirnya berjaya menyelamatkan dan membawa anaknya pulang dengan selamat.

Dalam pada itu, Johnny berkata, beliau akan terus menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk menyelamatkan lebih ramai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pekerjaan antarabangsa.

“Saya juga berharap rakyat Malaysia tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja gaji lumayan di luar negara kerana di negara ini pun masih ada pekerjaan yang boleh dilakukan.

“Malah, itu juga antara matlamat saya di Balik Pulau iaitu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan supaya golongan muda tidak perlu berhijrah mencari kerja di tempat lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya