PRU15: Orang lama muncul semula

PRU15: Orang lama muncul semula

ANTARA calon lama yang membuat kemunculan semula dalam PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehadiran na­ma pemimpin yang tewas semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14 ) dan bertanding semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) boleh dianggap calon kitar semula apabila diberikan peluang sekali lagi meskipun pernah kalah sebelum ini.

Kemunculan itu mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam kalangan akar umbi. Ini kerana pemimpin kalah diketengahkan lagi di samping tidak memberi peluang dan ruang kepada muka-muka baharu untuk diletakkan sebagai calon pilihan raya.

“Muka sudahlah kalah, ada hati hendak bertanding lagi,” komen seorang pemimpin akar umbi ketika diminta panda­ngan beliau terhadap calon-calon diketengahkan pada kali ini.

Perkara itu bukan sahaja meli­batkan Barisan Nasional (BN) yang masih mengetengahkan calon sekitar semula seperti Datuk Seri Abdul Rahman Dah­lan di Parlimen Kota Belud sebaliknya juga membabitkan parti lain seperti Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Ahmad (Pakatan Harapan) di Kuala Terengganu serta Datuk Seri Khairuddin Abu Hasan (Gerakan Tanah Air) di Titiwangsa.

Namun, mungkin parti berke­naan mempunyai percaturan tertentu mengetengahkan nama-nama itu semula dengan mengambil kira pelbagai aspek dan terserah kepada penilaian pengundi pada 19 November ini.

1.  ABDUL RAHMAN DAHLAN

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu sebelum ini tewas di Parlimen Sepanggar di tangan wakil Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Azis Jamman dengan majoriti 15,436 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Namun Abdul Rahman sekali lagi dipertaruhkan BN di Kota Belud iaitu kerusi pernah dimenangi beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) dan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Walaupun menjadi Ahli Parlimen Kota Belud selama dua penggal, pengundi di situ masih menyifatkan Abdul Rahman sebagai orang luar dan mereka mahukan calon anak jati tempatan.

Dengan kemunculan semula ini, beliau bertembung dengan oleh calon Parti Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis yang diletakkan untuk mempertahankan kerusi Kota Belud apabila beliau sebelum ini pernah menewaskan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said daripada BN dengan majoriti 4,262 undi.

2. MASHITAH IBRAHIM

Setelah menyepi seketika, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim kembali semula ke gelanggang politik apabila namanya dipertaruhkan oleh BN di Parlimen Kuala Kedah.

Exco Wanita UMNO itu boleh dikatakan berpindah daripada Parlimen Baling yang pernah dimenangi pada 2004 ke Kuala Kedah yang terletak kira-kira 103 kilometer.

Kemunculan Mashitah boleh diibarat sirih pulang ke gagang meskipun UMNO Kedah dikatakan mempunyai nama lain untuk diletakkan sebagai calon Parlimen Kuala Kedah.

Sebelum menceburkan diri di dalam politik, beliau merupakan bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor.

3. ONG TEE KEAT

Jika sebelum ini dengan parti BN, bekas Presiden MCA tersebut kini kembali ke medan politik dengan tiket Parti Warisan apabila nama beliau diumumkan bertanding di Pandan.

Kemunculan Tee Keat ini selepas tidak bertanding kerusi Parlimen itu ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) sehingga namanya diumumkan sebagai calon PRU15.

Meskipun agak mencabar di Pandan apabila Timbalan Presi­den PKR, Rafizi Ramli dipertaruhkan PH untuk kerusi itu, beliau tetap yakin dapat mera­ih sokongan rakyat.

Beliau yang pernah bersama MCA selama 28 tahun dan meletak jawatan pada 2017 adalah Ahli Parlimen Pandan selama dua penggal dari 2004 hingga 2013 selepas berkhidmat empat penggal dari 1989 sebagai Ahli Parlimen Ampang Jaya, di mana Pandan kemudiannya dikeluarkan.

Jika menang, mungkin beliau boleh mencatat rekod sebagai ahli Parlimen daripada Warisan di Semenanjung Malaysia.

4. ABD. LATIF BANDI

Kehadiran bekas Exco Johor itu mencuri perhatian apabila namanya diketengahkan BN sebagai calon Parlimen Mersing.

Itupun selepas nasibnya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta oleh Mahkamah Sesyen Johor baru-baru ini.

Ekoran kes itu, beliau direhatkan daripada bertanding pada PRU14, namun ekoran pengaruhnya di kawasan timur Johor tersebut menyebabkannya dipanggil kembali berentap di Mersing yang merupakan kubu kuat UMNO.

Seperti nama Abd. Latif, penyandang sebelum ini adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad yang menang atas tiket BN sebelum melompat ke Bersatu.

5. IBRAHIM ALI

Dikenali sebagai seorang pemimpin suka melompat daripada BN kepada rakan mesra Pas dan kini menubuhkan Parti Putra dan menyertai Gagasan Tanah Air, Datuk Ibrahim Ali akan bertanding di antara salah kerusi di Kelantan.

Pada mulanya, Ibrahim me­nyer­tai UMNO dan pernah memenangi Parlimen Pasir Mas, Kelantan atas tiket BN pada 1987.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2004, Ibrahim bertanding dalam kawasan Pasir Mas sebagai calon bebas dan beliau tewas.

Walaupun begitu, beliau tetap menganggap dirinya tidak terikat pada mana-mana parti walaupun bertanding di atas tiket parti itu. Kini Ibrahim kembali semula bersama GTA.

6. LIOW TIONG LAI

Nama bekas Menteri Pengangkutan ini sekali lagi dipertaruhkan oleh BN untuk merampas semula Parlimen Bentong daripada PH meskipun pernah kecundang di tangan Wong Tack yang ketika itu menggunakan tiket PKR.

Namun Tan Sri Liow Tiong Lai hanya tewas dengan 2,032 undi berbanding Wong yang kali ini dijangka bertanding sebagai calon bebas apabila DAP mengetengahkan nama ADUN Ketari, Young Syefura Othman di kerusi itu.

Meskipun situasi itu boleh memecah undi PH, masih terlalu awal untuk menghitung pengiraan yang berlaku kepada bekas Presiden MCA pada PRU15.

Jika benar, Tiong Lai berpeluang cerah sekali lagi membuat kemunculan semula di pentas politik selepas menyepi seketika sejak PRU14.

7. RAJA KAMARUL BAHRIN

Pengerusi PH Terengganu ini sekali lagi diletakkan di Kuala Terengganu iaitu kerusi yang pernah beliau tewas pada PRU14 dalam pertembungan tiga penjuru antara calon Pas, Datuk Amzad Hashim dan calon BN, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Pilihan raya lalu, Raja Kamarul berada di kedudukan ketiga apabila hanya meraih 15,380 undi berbanding Pas (42,988) dan BN (28,215).

Percubaan kali kedua tokoh arkitek itu sekali gus mencetuskan 1,000 persoalan sama ada beliau mampu merampas semula kerusi kubu kuat Pas itu dan mampu menyumbang kerusi kepada PH untuk membentuk Kerajaan Pusat.

8. NIK OMAR NIK ABDUL AZIZ

Anak bekas Menteri Besar Kelantan itu pernah bertanding sebagai calon PRU14 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Kelantan dan kali ini muncul semula di Bagan Serai atas tiket PH.

NIK OMAR NIK ABDUL AZIZ

Walaupun merupakan ahli Parti Amanah Negara (Amanah), namun di Bagan Serai atas kouta PKR.

Alasan PKR berbuat demikian kerana Nik Omar merupakan tokoh yang sangat dihormati, dari keluarga yang ulama yang sangat dihormati, dalam zaman ini ramai yang tak boleh menyaingi kasih rakyat seperti bapanya sendiri, Nik Abdul Aziz.

Di Bagan Serai, beliau dijangka dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad mewakili PN dan calon BN, Zul Helmi Ghazali.

Untuk rekod, Nik Omar bukan sahaja tewas di Chempaka dengan 2,418 undi tetapi juga hilang wang deposit.

9. T. MOHAN

Naib Presiden MIC tidak asing dalam kalangan komuniti India dan beliau sekali lagi menjadi calon pilihan raya meskipun pernah tewas pada PRU14 membabitkan kerusi DUN Sungai Tua, Selangor.

Pada kali ini, Datuk T. Mohan mencuba nasib apabila namanya diletakkan BN di kawasan Hulu Selangor yang dimenangi oleh PH.

Dalam pertembungan dijangka tiga penjuru ini, beliau berdepan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr. Sathia Prakash Nadarajah dan calon Pas, Mohd. Hasnizam Harun.

Tugas besar menanti Mohan apabila PH menang dengan majoriti besar iaitu 13,391 undi berbanding BN ketika PRU14 dengan 27,392 undi.

10. KHAIRUDDIN ABU HASAN

Setelah tewas di Parlimen Jasin, Khairuddin sekali dipertaruhkan sebagai calon PRU15 dengan kali ini di Titiwangsa dan bertembung dengan dua tokoh besar iaitu bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan bekas Menteri Wilayah.

Kehadiran di kawasan itu seolah-olah membayangkan cabaran menanti Khairuddin sama ada beliau tewas atau sebaliknya dengan melihat sentimen dan strategi kempen bakal digunakan beliau.

KHAIRUDDIN ABU HASAN

Mungkin orang kuat Tun Dr Mahathir Mohamad itu boleh menggunakan populariti bekas Perdana Menteri bagi meraih sokongan untuk menempa kemenangan.

Sewaktu PRU14, Khairuddin hanya kalah tipis dengan 219 undi manakala calon BN, Datuk Seri Ahmad Hamzah pula meraih 26,560 undi. – UTUSAN

Calon kitar semula lain

  1. Datuk Idris Ahmad – Bagan Serai (PN)
  2. Datuk Dr. Mohd. Shafei Abdullah – Wangsa Maju (BN)
  1. Datuk Dr. Hamim Samuri – Ledang (BN).
  1. Datuk Nur Jazlan Mohamed – Pulai (BN).
  1. Datuk Husam Musa – Pasir Mas (PH).
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN