PRU15: Kemelut calon PN, pengundi PKR beri kelebihan buat BN di Nibong Tebal - Utusan Malaysia

PRU15: Kemelut calon PN, pengundi PKR beri kelebihan buat BN di Nibong Tebal

CALON BN kerusi Parlimen Nibong Tebal, RS Thanenthiran (dua dari kiri) ketika menziarahi seorang pesakit kronik di Sungai Acheh, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Kemelut yang berlaku di antara calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mansor Othman (Bersatu) yang sebelum ini merupakan penyandang bagi kerusi Parlimen Nibong Tebal atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan pengundi di situ dianggap kelebihan buat calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri R S Thanenthiran.

Thanenthiran, 59 yang juga merupakan Presiden Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) berkata, disebabkan kemelut itu yang menyebabkan pengundi berbelah-bahagi, beliau melihat peluangnya untuk membuat kejutan di kerusi tersebut semakin terbuka luas.

“Saya juga percaya pertandingan empat penjuru di kerusi ini bakal menyaksikan undi akan berbalik kepada BN meskipun PKR dan Pakatan Harapan (PH) pernah menang dalam beberapa penggal pilihan raya sebelum ini.

“Ini kerana penyandang yang juga calon di Parlimen ini, Mansor akan bertanding di bawah PN yang mana sebelum ini dia bertanding atas tiket PKR.

“Tapi, kali ini beliau lompat ke Bersatu yang sememangnya memberi satu tamparan hebat kepada PKR sehingga wujudnya pertelagahan di antara (pengundi) PKR dengan PN (Mansor),” katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa pesakit kronik sekitar Sungai Acheh, di sini semalam.

Meskipun begitu, beliau menambah, situasi tersebut tidak akan membuatkan jentera BN Nibong Tebal berada dalam kedudukan yang selesa sebaliknya akan terus komited dalam usaha membantu penduduk kawasan itu mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

“Penyokong PKR sebelum ini ramai berjumpa dengan saya memberitahu mereka tidak mahu undi PH dan PKR kerana beranggapan agenda parti itu adalah agenda pemimpin yang disifatkan tiada visi untuk rakyat tempatan.

“Jadi, manifesto saya di Nibong Tebal adalah menyelesaikan isu rakyat antaranya berkaitan masalah air, menambah baik infrastruktur seperti sistem jalan raya dan pengangkutan awam serta masalah tempat meletak kenderaan di Pasar Selasa Sungai Acheh yang tidak mampu diselesaikan sebelum ini,” katanya.

Mengikut rekod daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terdapat seramai 100,130 pengundi di kawasan Nibong Tebal dengan komposisi Melayu (46,516); Cina (34,796); India (17,737) dan lain-lain etnik (538).

Thanenthiran akan bersaing merebut kerusi Parlimen Nibong Tebal pada PRU15 dalam persaingan empat penjuru dengan tiga lagi calon iaitu penyandang daripada PN, Mansor; Fadhlina Sidek (PKR) daripada Pakatan Harapan (PH) dan Goh Kheng Huat (Bebas).

Pada PRU14, kerusi itu dimenangi Mansor yang ketika itu bertanding atas tiket (PH-PKR) dengan undi sebanyak 35,395 menewaskan Datuk Shaik Hussein Mydin (BN) yang mendapat 19,578 undi manakala Mohd. Helmi Harun (Pas) dan Tan Tee Beng (Bebas) masing-masing mendapat 6,875 dan 331 undi. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya