PRU15: Enggan terus selesa, PN yakin mampu tawan Tasek Gelugor - Utusan Malaysia

PRU15: Enggan terus selesa, PN yakin mampu tawan Tasek Gelugor

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Perikatan Nasional (PN) enggan terus berasa selesa meskipun yakin mampu menawan kerusi di Parlimen Tasek Gelugor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon PN yang juga Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, hasil kajian sikap yang dilaksanakan oleh jentera parti itu sejak tiga minggu lalu di Tasek Gelugor menunjukkan peningkatan peratusan yang positif terhadap PN berbanding parti lain.

“Meskipun tidak dapat berkongsi dengan lebih terperinci mengenai peratusannya (kajian) kerana melibatkan strategi parti, namun ini adalah satu perkembangan yang baik dan saya harap ia dapat diterjemahkan kepada undi pada hari Sabtu nanti,” katanya dalam sidang akhbar di bilik gerakan PN Tasek Gelugor, di sini hari ini.

Katanya, hasil kajian itu juga mendapati sokongan jitu yang diberikan warga Tasek Gelugor terhadap PN kali ini disebabkan mereka menginginkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali mengemudi negara selepas PRU15.

“Saya rasa bertepatan dengan banyak kajian lain di seluruh negara mendapati Muhyiddin ialah calon Perdana Menteri paling popular.

“Malah, mereka turut menolak sebarang usaha (Datuk Seri) Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim untuk menguasai Putrajaya,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful turut menjelaskan pengundi di Tasek Gelugor faham agenda serta propaganda yang diwujudkan musuh politik PN demi mencapai kepentingan peribadi berbanding membela nasib rakyat teramai.

“Ada dakwaan Anwar dan Ahmad Zahid pernah berbincang beberapa kali untuk menubuhkan kerajaan dan itu memberi kesan kepada pengundi di Tasek Gelugor yang tidak mahu BN membawa PH naik ke Putrajaya.

“Selain itu, pengundi di sini juga menolak taktik kotor (ketika berkempen) dan saya rasa ini strategi lama ‘politik tua’ yang digunakan UMNO dan BN yang menyerang saya secara peribadi dalam beberapa hal yang tidak berasas,” katanya.

Wan Saiful akan merebut kerusi Parlimen Tasek Gelugor dalam persaingan lima penjuru dengan empat lagi calon iaitu Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor (BN); Nik Abdul Razak Nik Md. Ridzuan (PH) serta calon Warisan; Mohamad Akmal Azhar dan Abdul Halim Sher Jung (GTA-Pejuang).

Pada PRU14, kerusi Parlimen Tasek Gelugor dimenangi calon BN (UMNO), Shabudin dengan majoriti 81 undi selepas mendapat 18,547 undi menewaskan dua pencabarnya, Datuk Marzuki Yahya daripada PH (Bersatu) yang mendapat 18,466 undi dan calon Pas, Rizal Hafiz Ruslan (14,891 undi).

Bagaimanapun, Shabudin bertindak keluar daripada UMNO dan menyertai Bersatu pada Disember 2018 sebelum membuat keputusan untuk tidak bertanding mempertahankan kerusi itu kali ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya