Polis Johor siasat Chegubard

Polis Johor siasat Chegubard

CYRIL EDWARD NUING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor mengesahkan Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin dipanggil untuk membantu siasatan ekoran satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook ketika tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edward Nuing berkata, Chegubard disiasat mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, sebarang tindakan lanjut termasuk tangkapan terhadap individu berusia 44 tahun itu hanya akan dibuat selepas hasil siasatan diperoleh.

“Pada 17 November lalu, kami telah menerima satu laporan polis tentang ‘posting’ dalam akaun Facebook bernama Chegubard Original.

“Ekoran laporan polis tersebut, kita telah ambil tindakan dan buka satu kertas siasatan. Individu berkenaan juga telah dipanggil untuk memberikan kenyataan tentang perkara itu di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah Mersing, hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini yang disertai Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Sementara itu, Chegubard dalam akaun Facebook miliknya mendakwa siasatan itu berkenaan beberapa isu dibangkitkan, antaranya perlombongan emas, perlombongan pasir dan khazanah Mersing yang telah dibawa keluar.

“Baru berkuasa BN (Barisan Nasional) dan PH (Pakatan Harapan) nampaknya mula menggunakan kuasa sewenangnya. Kepada orang politik berhentilah menjadi alat atasan kapitalis yang memunggah khazanah menekan masyarakat. 

“Saya tidak pasti akan disiasat bawah akta apa, namun saya siapkan minda untuk mereka menekan saya guna akta hasutan yang mana saya mungkin boleh ditahan tanpa waran.

“Untuk semua pejuang PN (Perikatan Nasional), sebagai manusia kita berhak kecewa tetapi jangan sampai terbaring umpama singa tewas menjilat luka. Bangkitlah umpama wira panglima kerana majoriti anak bangsa memilih kita untuk pertahan agama dan negara,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya