PETALING JAYA: Jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Kabinet lebih kecil akan dibentuk dengan dibarisi kepemimpinan yang berpengalaman dan penuh kepakaran.
Kabinet kecil ini dipercayai lebih efektif dalam usaha memulih dan mengukuhkan kembali ekonomi negara, sekali gus menarik pelaburan asing.
Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengecilan saiz Kabinet itu antara tawaran untuk rakyat negara ini dalam tempoh lima tahun datang.
Walaupun merancang mengurangkan jumlah Jemaah Menteri, beliau bagaimanapun memerlukan Kabinet yang kuat merangkumi pelbagai aspek demi memastikan kerajaan yang akan dibentuk dapat menyampaikan khidmatnya dengan lancar untuk rakyat Malaysia.
“Ramai yang bercakap soal Kabinet terlalu besar. Saya akui memang terlalu besar dan pastinya saya akan mengecilkannya. Daripada segi kepelbagaian kepakaran, akan saya jadikan sebagai panduan untuk membentuk Kabinet nanti. Bukan sahaja terdiri daripada ahli politik tetapi teknokrat akan turut dimasukkan.
“Kerajaan akan memperkasa semua agensi dan jabatan. Banyak rungutan tentang kerenah birokrasi yang melampau dalam jabatan kerajaan. Kadang kala ini menghindar kemasukan pelabur asing ke negara kita. Jika dibanding negara lain, setiap kelulusan terpaksa menunggu lama (di negara kita).
“Oleh itu, saya harap semua akan keluar mengundi, ini hak yang dijamin oleh Perlembagaan. Buatlah pertimbangan sebaiknya, buat perbandingan parti mana dilihat mampu membawa Malaysia ke arah lebih cemerlang.
“Lihat sejarah parti mana yang menabur jasa kepada rakyat, dengan itu barulah kita buat pilihan tepat sewaktu pilihan raya. Jadi, pada 19 November nanti, buat pilihan yang bijak demi mewujudkan kerajaan stabil yang seterusnya akan menjamin kemakmuran negara,” kata beliau dalam satu temu bual khas yang disiarkan secara langsung melalui kaca televisyen, malam semalam.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, kejayaan ekonomi yang dikecapi negara ketika ini akan diteruskan selain memastikan politik negara berada dalam keadaan stabil.
“Yang penting adalah kestabilan dan juga kemakmuran dari segi ekonomi. Kejayaan kita mesti diteruskan daripada segi ekonomi. Walaupun kita tahu tahun hadapan, ketidaktentuan ekonomi agak tinggi dan ia merupakan cabaran besar kepada kita.
“Tetapi saya akan memastikan supaya kita boleh melepasi segala rintangan yang akan dihadapi tahun hadapan, kita mahu supaya ekonomi kita terus berkembang,” katanya.
Mengulas lanjut, kata beliau, walaupun kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Jihad Perangi Inflasi dan pelbagai inisiatif lain, BN akan memberi fokus kepada usaha menangani kos sara hidup dan menambaik setiap kelemahan.
Selain itu, selain memberi perhatian kepada golongan belia dan wanita, katanya, BN akan menumpukan pada golongan muda dengan menyediakan peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran walaupun negara telah mencapai kadar 3.6 peratus.
“Dasar luar kita mesti diubah kerana kehadiran Malaysia di luar negara dengan dasar luarnya amat dirasai suatu ketika dahulu. Tetapi, mungkin agak kurang akhir-akhir ini disebabkan pandemik Covid-19, kita kurang menyerlah tetapi mesti kembalikan keagungan lalu. Kita perlu dilihat lebih terlibat dalam memperjuang isu besar yang dirasai dunia,” katanya.
Dalam pembasmian kemiskinan pula, beliau akan menumpukan kepada pembangunan Sabah dan Sarawak dalam aspek pembangunan infrastruktur dan meningkatkan ekonomi rakyat di kedua-dua wilayah.
“Ini bukanlah klise, memang perlu diperjuangkan. Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), kita akan hapuskan miskin tegar pada 2025, perkara-perkara berkaitan kemiskinan ini mesti diteruskan dan merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar serta wilayah,” katanya.
Jelas Ismail Sabri, Bajet 2023 banyak memberi kelebihan kepada Sabah dan Sarawak terutama dalam aspek pembangunan, malah, kerajaan meneruskan usaha menyiapkan projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo.
Beliau menafikan dakwaan bahawa kerajaan tidak memberi fokus kepada Sabah dan Sarawak, sebaliknya memastikan segala kemudahan dan keperluan disediakan untuk rakyat.
“Ini termasuk program Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk capaian Internet, semuanya termasuk dalam perancangan kita. Banyak yang kita rancang untuk Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan juga memberi keutamaan kali ini kepada infrastruktur di luar bandar dan jalan-jalan kampung, sekolah-sekolah daif, klinik-klinik desa. Saya sendiri melihat apabila ditunjukkan video tentang klinik desa, begitu menyedihkan,” katanya. – UTUSAN










