fbpx

Pilih parti sehaluan dengan kerajaan GRS-BN, Bung Moktar

BUNG MOKTAR RADIN

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah mengingatkan pengundi di negeri ini agar membuat pilihan secara bijak pada hari mengundi sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) esok.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, rakyat Sabah perlu memilih calon yang mampu membawa perubahan dan pembangunan di kawasan mereka dan Sabah keseluruhannya.

“BN mesti menang pada pilihan raya ini agar segala perkara sudah dirancang sebelum ini termasuk apa yang digariskan dalam Belanjawan 2023 dapat dibentang semula dan dilaksanakan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat.

“Jika tidak, apa yang diusahakan ini hanya sia-sia dan akhirnya rakyat yang mengalami kerugian, lebih-lebih lagi jika kerajaan yang dibentuk nanti tidak sehaluan dengan kerajaan GRS-BN di peringkat negeri,” katanya.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, BN dengan kerjasama rakan sekutu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu menawarkan masa depan yang lebih baik sesuai dengan kedudukannya sebagai parti pemerintah di Sabah.

Sekiranya diberi mandat pada PRU-15, calon BN dan GRS mampu membawa perubahan dan pembangunan yang lebih baik di Sabah.

“Kemenangan kita bakal menyumbang kepada kemenangan BN secara keseluruhan bagi membentuk kerajaan baharu persekutuan. Ini sudah tentu memberi kelebihan kepada kita untuk membawa lebih banyak pembangunan di Sabah.

“Justeru, rakyat Sabah perlu memilih calon BN dan GRS pada hari mengundi esok.

“Janganlah terpengaruh dengan dakyah dan sentimen yang dibawa parti lawan kerana mereka tidak mampu buat apa-apa jika menang sekalipun,” katanya.

Calon kerusi Parlimen Kinabatangan itu berkata, berdasarkan sokongan rakyat sepanjang kempen sejak 5 November lalu, beliau yakin BN dan GRS mampu memenangi sebahagian besar daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah.

Jelas beliau, rekod pencapaian kerajaan BN sebelum ini adalah yang terbaik berbanding kerajaan selepasnya iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan Parti Warisan (Warisan) di peringkat negeri.

“Kita tidak boleh lagi memberi peluang kepada PH atau PN kerana semasa mereka berkuasa dahulu, rakyat tidak menjadi keutamaan. Di Sabah juga begitu, Warisan gagal membawa perubahan yang signifikan kepada rakyat di negeri ini.- UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN