PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) sepatutnya diberi keutamaan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan pada penggal Parlimen Ke-15.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, tumpuan kepada gabungan itu perlu diberikan kerana PH secara zahirnya merupakan blok yang memperoleh kerusi terbanyak.
Bagaimanapun, katanya, keadaan ketika ini masih terbuka kepada Perikatan Nasional (PN) yang meraih blok kedua terbesar untuk membentuk kerajaan,
“Kalau mengikut zahirnya, PH lah yang harus dapat perhatian pertama, kedua, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, jadi, setakat ini keutamaan itu bergantung dan berlandaskan fakta bahawa parti itu (PH) dapat (lebih) 80 kerusi.
“Jadi, boleh lah ia menggerakkan tenaga untuk mendapatkan jentera menjadi kerajaan dengan meminta pihak bersamanya, setelah itu menghadap Yang di-Pertuan Agong dan membuktikan ada pakatan dalam pemerintahan nanti.
“Walaupun PH diberi tumpuan utama, tetapi, sekarang terbuka dan Seri Paduka berhak membuat keputusan pada pendapat Baginda (gabungan mana) mendapat sokongan Ahli Dewan Rakyat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Terdahulu, Istana Negara memaklumkan, semua ketua parti dan gabungan politik yang mempunyai jumlah kerusi banyak diminta untuk memaklumkan persetujuan penggabungan sesama mereka bagi pembentukan kerajaan yang baharu pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat selewatnya pukul 2.00 petang, hari ini.
Ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti politik tersebut akan diminta oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan mengenai gabungan parti politik yang dipersetujui masing-masing serta mengemukakan nama seorang Ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat berikutan gabungan parti politik tersebut untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana Negara.
Mengulas lanjut, Rais berkata, Tan Sri Azhar Azizan Harun tidak wajar menjadi orang tengah atas kapasitinya sebagai Speaker Dewan Rakyat dalam pembentukan kerajaan selepas ini.
Katanya, ini kerana tugas Azhar Azizan sebagai Speaker hanya bermula pada Sidang Dewan Rakyat akan datang, sekiranya tidak digugurkan Ahli Dewan.
“Itu prosedur yang tidak semestinya menjadi rasmi sebab Speaker (Yang Dipertua) Dewan Rakyat sudah tiada kerana (Parlimen) sudah dibubarkan, jadi, kalau beliau mengambil peranan sebagai apa? Bukan sebagai Speaker (Yang Dipertua), tetapi sebagai individu sahaja.
“(Malah) tidak wajar seseorang pernah menjadi Speaker (Yang Dipertua) terus menjadi orang tengah dan itu tidak pernah dibuat oleh mana-mana pihak dalam mana-mana komanwel atau dunia. Itu satu konvensyen yang tidak memberi kedudukan yang baik.
“(Azhar Azizan) boleh memainkan peranan sebagai individu, tetapi bukan Speaker (Yang Dipertua). Saya menyebut perkara ini atas Perlembagaan Malaysia, bukan bermakna semua surat dari sana betul bahasanya, (jadi) lebih baik berunding tanpa menggunakan nama rasmi Speaker (Yang Dipertua) Dewan Rakyat,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau menambah, jalan terbaik ketika ini adalah Presiden gabungan parti yang mendapat kutipan dua teratas berunding sesama mereka dan selepas itu menghadap Yang di-Pertuan Agong.
“Aspek kedua terbaik bagi (Pengerusi PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Muhyiddin menjalankan ikhtiar penemuan pemikiran yang baik tanpa melibatkan mana-mana pihak, jauh sekali Speaker Dewan Rakyat (kerana) jawatan itu sudah tidak ada,” katanya. – UTUSAN










